Warga Kepong sudah bosan dengan 'jerangkap samar', taman permainan 'berhantu'


  • Massa
  • Isnin, 09 Dis 2024

Seorang penduduk menggunakan titi sementara yang diperbuat daripada papan di longkang kawasan taman permainan di Kepong.

JALAN berlubang, pokok-pokok yang tidak dicantas dan taman permainan kurang diselenggara antara isu yang membelenggu penduduk di Jalan Lang Kelabu di Kepong, Kuala Lumpur.

Penduduk di kawasan itu menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meningkatkan penyelenggaraan bagi mengelak kemalangan demi memastikan keselamatan penduduk.

Keith Sean Arul, 51, berkata, jalan yang berlubang menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya.

"Di hadapan rumah saya, ada satu lubang yang sudah bertahun-tahun tak pernah dibaiki," katanya.

Keith turut menunjukkan beberapa bahagian longkang di sekitar taman permainan kanak-kanak yang rosak teruk.

Difahamkan penduduk kadangkala mengumpulkan dana sendiri untuk mengupah kontraktor bagi membaiki kerosakan tetapi usaha itu tidak bersifat kekal.

BACA LAGI: Amaran hujan lebat di Dungun, Kemaman dan 5 daerah Pahang kini di tahap bahaya

BACA LAGI: Bashar al-Assad lari tinggalkan Syria, dapat perlindungan suaka di Rusia

Seorang lagi penduduk, K. Thanasekaran, 39, menyuarakan kebimbangan mengenai semak samun di sekitar taman permainan.

Thanasekaran berkata, semak samun itu menakung air hujan dan memudahkan pembiakan nyamuk.

“Ramai yang digigit nyamuk terutamanya pada waktu petang dan perkara ini amat membimbangkan, ibu saya pernah dijangkiti denggi sebelum ini,” ujarnya.

Pemeriksaan StarMetro mendapati beberapa pokok yang tidak dicantas adalah berhampiran rumah penduduk.

Penduduk bimbang jika pokok-pokok berkenaan tumbang kerana ia boleh membahayakan orang ramai serta merosakkan harta benda.

Bukan itu sahaja, permukaan taman permainan dilihat tidak rata dan dilitupi alga boleh menimbulkan risiko tergelincir bagi kanak-kanak.

Longgokan sampah juga dikesan di kawasan tersebut.

Beberapa kepingan papan kayu diletakkan di longkang sebagai titi sementara untuk penduduk ke kawasan taman permainan.

Aktivis komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata bahawa dia telah menghantar surat kepada DBKL memohon penyelenggaraan dan naik taraf segera dilakukan.

“Penduduk memerlukan laluan pejalan kaki di kawasan taman permainan. Mereka memerlukan titi yang sesuai untuk mengakses kemudahan itu,” katanya.

Awal tahun ini, DBKL menyatakan akan menjalankan beberapa kerja penyelenggaraan dan naik taraf di kawasan berhampiran, susulan laporan StarMetro pada 9 Julai.

Ia termasuk kerja-kerja pembinaan longkang di Suria Homes dan membaiki kemudahan di taman permainan Taman Sri Segambut.

Satu kajian juga telah dijalankan bagi mengenal pasti langkah-langkah yang perlu untuk menaik taraf Taman Usahawan Kepong.

Pada 6 Disember, Yee berkata, DBKL telah memeriksa tapak tersebut namun tiada sebarang kerja pembaikan dilaksanakan. — The Star/FARID WAHAB

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram