DATUK Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dakwaan mempunyai hubungan rapat dengan Low Taek Jho atau Jho Low terlalu diperbesarkan apabila individu lain dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang lebih dekat dengan ahli perniagaan itu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, dia seolah-olah dipermainkan oleh Jho Low yang disifatkan sebagai individu berkarisma.
Kata Najib, dia terpalit secara tidak sengaja hanya disebabkan kehadiran Jho Low di kediamannya.
BACA LAGI: Najib antara 11 individu bakal dipanggil sebagai saksi perbicaraan kes 1MDB — Muhammad Shafee
Najib mengakui pernah menerima kunjungan Jho Low di rumahnya di Kuala Lumpur.
"Walaupun saya tidak menafikan ada masa-masa tertentu Jho Low hadir di kediaman saya, adalah penting untuk memahami konteks interaksi saya dengannya ketika itu.
"Interaksi saya dengan beliau sentiasa berkenaan perkara yang saya percaya untuk kepentingan terbaik Malaysia," katanya.
Najib berkata, individu penting lain iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo dan bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu juga melawat Jho Low di rumahnya.
"Pengakuan Shahrol di mahkamah ialah dia membuat nasi goreng untuk Jho Low dan jangan lupa Yu membuat sup untuk Jho Low ketika dia tidak sihat.
"Untuk rekod, saya tidak pernah menyediakan sebarang hidangan untuk Jho Low," jelasnya.
Jasmine yang merupakan saksi pendakwaan ke-50 memberi keterangan dalam kenyataan saksinya bahawa akan menyerahkan Resolusi Pemegang Saham Keutamaan Boleh Tebus Hak Khas (SRR) dan Minit Wakil (MR) kepada Jho Low untuk mendapatkan tandatangan Najib.
Dalam keterangannya, Jasmine berkata, dia pernah menunggu di pintu pagar kediaman Najib di Langgak Duta, Kuala Lumpur, di mana Jho Low mengambil dokumen daripadanya.
Najib bagaimanapun menafikan keterangan itu dengan mengatakan bahawa Jasmine hanya cuba menimbulkan tanggapan bahawa Jho Low berada di kediamannya di Langgak Duta seolah-olah dia dan Jasmine bersubahat bersama.
"Ini boleh dilihat dari perspektif lain di mana Jasmine bukan sahaja rakan rapat Jho Low tetapi juga peguamnya dan kemudiannya menjadi rakan niaga yang menguntungkan.
"Oleh itu, berkemungkinan besar dia membawa resolusi itu ke kediaman saya di Langgak Duta dan menunggu pelaksanaannya kerana dia bercadang dengan Jho Low dan ahli pengurusan seperti Datuk Shahrol.
"Ia untuk memastikan saya menandatangani resolusi untuk membolehkan mereka untuk melaksanakan rancangan tipu daya mereka yang sering melibatkan penyelewengan berjuta-juta daripada 1MDB yang saya tidak tahu tentangnya," tambah Najib.
Pada 30 Oktober lepas, Najib diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan sebanyak RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan kemudiannya diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada hari Jumaat ini. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram