Terjatuh bilik air ketika mahu solat subuh, penyanyi era 1960-an meninggal dunia di HKL


  • Hiburan
  • Ahad, 08 Dis 2024

Aspalela Abdullah meninggal dunia selepas terjatuh bilik air di kediamannya yang terletak di Taman Melati, Kuala Lumpur pada Ahad. — Facebook

PENYANYI era 1960-an, Aspalela Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi Ahad.

Allahyarham yang bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-80 pada 30 Januari depan, dilaporkan terjatuh di bilik air kediamannya yang terletak di Taman Melati sebelum dikejarkan ke hospital.

Memetik laporan Astro Awani, cucu Allahyarham, Puteri Wan Nur Izzati Azhari berkata, neneknya dipercayai terjatuh semasa bangun untuk menunaikan solat Subuh.

BACA LAGI: Cabaran pemanduan 23 selekoh, kaki Go-Kart patut uji kemahiran di RUD Karting Gamuda Cove

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kejutan' ketika meronda, pengawal keselamatan di Kampar tergamam jumpa mayat guru dibakar bersama motosikal di kebun kelapa sawit

“Mungkin nenek tergelincir ketika bersiap membersihkan diri untuk solat Subuh. Sebaik melihat keadaannya, kami segera menghubungi ambulans. Namun, doktor memaklumkan nenek telah meninggal dunia sekitar pukul 10 pagi,” katanya.

Nur Izzati turut memberitahu bahawa Allahyarham yang cukup terkenal dengan irama Melayu asli itu tidak mempunyai masalah kesihatan serius kecuali darah tinggi dan kolesterol yang terkawal.

Mengulas lanjut, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Salahuddin al-Ayubi di Taman Melati sebelum dijangka dikebumikan selepas solat Asar.

Sepanjang kariernya, Aspalela Abdullah dikenali sebagai juara pertandingan Bintang Radio 1968 dan berjaya merakamkan lima album.

Allahyarham juga pernah bernikah dengan pelakon terkenal, Raja Ismail Raja Saa dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Namun, anak bongsu pasangan pelakon itu meninggal dunia beberapa tahun lepas.

Selain tiga orang cucu, Allahyarham Aspalela meninggalkan legasi sebagai ikon muzik Melayu asli.

Setelah bersara daripada dunia hiburan, beliau aktif dalam aktiviti keagamaan seperti marhaban dan bacaan Yassin bersama Kumpulan Artis Wanita Malaysia (KAWAN).

Pemergian Allahyarham Aspalela disifatkan sebagai kehilangan besar buat industri seni tanah air. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram