[VIDEO] Lepas kena kecam satu Indonesia, Gus Miftah tampil minta maaf bergurau kasar dengan penjual teh


  • Benua
  • Rabu, 04 Dis 2024

Peniaga itu (kanan) seolah-olah menahan malu selepas dirinya dijadikan subjek gurauan oleh Gus Miftah. — Agensi

GUS Miftah Maulana Habiburrahman, yang juga bertugas sebagai Utusan Khas Presiden dalam Bidang Keharmonian Beragama, baru-baru ini menarik perhatian masyarakat selepas tular sebuah video di media sosial.

Menerusi video tersebut, pendakwah selebriti itu dilihat melemparkan kata-kata yang dianggap kasar kepada seorang peniaga jalanan yang sedang menjual teh di sebuah majlis ilmu.

Insiden tersebut berlaku di hadapan khalayak yang menghadiri program berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Penunggang maut rempuh belakang bas tiba-tiba berhenti di Melaka

BACA LAGI: Sudah beberapa kali ragut nyawa, penduduk Puncak Alam gesa PBT bina lampu isyarat di 'Persimpangan Mario'

Gus Miftah ketika kejadian sedang berada di atas pentas bersama beberapa agamawan lain.

Berdasarkan rakaman tular, pendakwah itu pada awalnya bertanya kepada penjual teh berkenaan sama ada dia sudah menghabiskan jualannya atau tidak.

Dia kemudian secara tiba-tiba meninggikan suara dan menyuruh lelaki itu pergi menjual teh tersebut, sebelum disambut dengan gelak tawa penonton serta pendakwah yang lain.

“Air teh kamu masih banyak? Ya, pergi jual di sana goblok.

“Kamu jual dulu, kalau belum laku, ya sudah itu (adalah) takdir,” katanya.

Jelas terpancar raut wajah keletihan dan seolah-olah menahan malu selepas penjual itu dijadikan subjek gurauan oleh golongan yang kononnya dianggap berilmu.

Meskipun begitu, dia hanya berdiri tegak di kawasan bawah pentas sambil menggendong teh jualannya.

Senyuman pahit yang dilemparkan susuk lelaki itu membuatkan rata-rata rakyat Indonesia dan Malaysia menyuarakan pandangan terharu mereka berhubung situasi tersebut.

Video itu turut mencetuskan kemarahan masyarakat Indonesia yang menganggap tindakan Gus Miftah adalah sangat tidak wajar dan biadap.

Pendakwah berasal dari Yogyakarta itu bagaimanapun tampil mengakui khilafnya dan membuat permohonan maaf.

“Assaalamualaikum, saya ingin memberi respons terhadap apa yang sedang tular hari ini.

"Pertama sekali, dengan rendah hati saya memohon maaf atas kekhilafan saya,” katanya.

Malah dia mengakui, kata-kata kasar yang dilontarkan kepada peniaga teh itu hanyalah gurauan semata-mata dan tidak bermaksud untuk menghina.

Susulan kejadian itu, semakin banyak pihak yang mula memberi perhatian kepada penjual teh dengan mengunjungi kediamannya bagi memberikan bantuan dan sebagainya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram