Tahap kesihatan merosot mendadak 24 jam, penyakit baharu berkaitan 'vape' dikesan di negara jiran


  • Benua
  • Khamis, 21 Nov 2024

Pihak berkuasa Thailand mengesan kes penyakit pertama berkaitan pengambilan rokok elektronik. — Gambar hiasan

PIHAK berkuasa kesihatan Thailand melaporkan kes tempatan pertama penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape dengan mereka turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemungkinan lebih banyak kes sedemikian.

Menurut Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) di Kementerian Kesihatan Awam, seorang lelaki berusia 32 tahun dari Buri Ram telah didiagnosis dengan keadaan yang dikenali sebagai Evali, iaitu kecederaan paru-paru berkaitan dengan penggunaan vape.

Pengarah Bahagian Kawalan Hasil Tembakau Kementerian, Dr Chayanan Sittibusaya berkata, pesakit itu yang dimasukkan ke Hospital Buri Ram mengalami batuk darah dan keadaannya bertambah teruk begitu drastik termasuk berdepan radang paru-paru akut.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

“Pesakit yang kami rawat biasanya tidak mengalami radang paru-paru akut dan gejala kemerosotan kesihatan dengan cepat dalam masa 24 hingga 36 jam.

"Dalam kes ini, dia terpaksa memakai ventilator. Semua ujian untuk jangkitan, seperti Covid-19, RSV (respiratory syncytial virus), dan lain-lain, adalah negatif.

"Selepas pesakit dapat mengeluarkan tiub pernafasannya, dia memberitahu doktor bahawa dia mengambil kira-kira 400 hisapan rokok elektronik setiap hari," ujarnya.

Dr Chayanan berkata, masih tidak jelas tempoh lelaki itu mengamalkan tabiat merokok yang agresif.

Meskipun penggunaannya dilarang di Thailand, rokok elektronik dilaporkan mudah didapati secara dalam talian dan luar talian di negara tersebut. — Gambar hiasan

Bagaimanapun, pesakit terbabit juga mempunyai penyakit lain termasuk kencing manis dan darah tinggi.

Pemeriksaan fizikal terperinci turut mendedahkan kewujudan tompok putih pada paru-parunya.

Keadaan pesakit kini bertambah baik secara keseluruhan dan tiada sebarang jenis jangkitan.

Bagaimanapun, lelaki terbabit dilaporkan mengalami simptom yang serupa dengan individu yang cuba untuk berhenti daripada mengambil nikotin.

Pihak hospital membawa kes itu ke pejabat kesihatan awam wilayah Buri Ram untuk menyiasat penyakit itu dengan lebih lanjut.

"Kami telah menggalakkan semua hospital melaporkan kes Evali kepada kami,"

"Kami bimbang penyakit Evali mungkin meningkat kerana golongan muda boleh mendapat akses kepada rokok elektronik dengan mudah," kata Dr Chayanan.

Meskipun penggunaannya dilarang di Thailand, rokok elektronik dilaporkan mudah didapati secara dalam talian dan luar talian di negara tersebut.

Banyak kajian akademik mendapati bahawa rokok elektronik mengandungi banyak bahan berbahaya, termasuk nikotin dan logam berat.

Jabatan Kawalan Penyakit telah menasihatkan orang ramai untuk mengelak daripada menggunakan rokok elektronik khususnya jika mereka mempunyai keadaan kronik, kerana ia boleh menyebabkan jangkitan paru-paru secara mendadak dan juga kematian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram