SUAMI kepada pelakon dan bekas model tersohor, Zahnita Wilson, 39, ditahan berikutan dakwaan melakukan keganasan rumah tangga baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan bahawa suami Zahnita ditahan pada Isnin.
Wan Mohd Zahari berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas ugutan jenayah dan individu terbabit akan dihadapkan ke mahkamah pada Rabu untuk mendapatkan perintah reman.
BACA LAGI: Zahnita Wilson dedah punca kerap pakai 'spek' hitam, dipercayai jadi mangsa keganasan rumah tangga
BACA LAGI: Bertarung nyawa lawan kanser tulang rawan, isteri Cikgu Din meninggal dunia
Zahnita atau nama sebenar Zahnita Dorothy Hussein Wilson, mengejutkan peminatnya apabila mendedahkan wajahnya yang penuh lebam dan mata hitamnya di Instagram.
Katanya, dia enggan berdiam diri lebih lama dan terpaksa mendedahkan perkara itu kepada umum sekali gus menjawab banyak persoalan mengapa dia sering memakai cermin mata hitam.
"Saya tidak mahu melakukan ini, tetapi saya terpaksa. Inilah sebab mengapa saya tinggalkan rumah lama saya dan juga sebab saya selalu memakai cermin mata hitam," tulisnya pada Isnin.
Sementara itu, sumber rapat Zahnita yang enggan dikenali memaklumkan bahawa pelakon yang pernah membintangi filem Kuliah Cinta itu berada dalam keadaan sedih dan tertekan.
"Ada kejadian pagi Isnin menyebabkan Zahnita nekad mendedahkan keganasan yang didakwa dilakukan suaminya.
"Kalau ikutkan, ini bukan kejadian pertama, tetapi sebelum ini Zahnita memilih untuk menutup mulut sehingga ahli keluarganya tidak tahu," katanya.
Sumber itu menambah bahawa mereka dimaklumkan bahawa suami Zahnita telah ditahan pihak berkuasa manakala Zahinta perlu pergi ke balai polis untuk memberi keterangan.
"Dimaklumkan bahawa anak sulungnya itu turut dipanggil untuk membantu siasatan dan bimbang untuk berjumpa tiga anaknya kerana hanya sempat membawa anak bongsunya berpindah dua hari lalu.
"Mari sama-sama kita doakan agar segala urusan Zahnita dipermudahkan," tambahnya.
Sebelum ini, selebriti berdarah campuran Melayu-New Zealand itu pernah memfailkan permohonan cerai dengan suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013.
Namun, perkahwinan itu berjaya diselamatkan dan hubungan mereka kembali pulih.
Pasangan yang berkahwin pada 2005 itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, Zasharayna, Zahlia dan Zayden. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram