Terima upah baling bom petrol dari 'Along', remaja perempuan 17 tahun ditahan di Skudai


  • 112
  • Khamis, 28 Nov 2024

Remaja perempuan berkenaan ditahan kerana dipercayai membaling bom petrol sehingga mengakibatkan sebuah kereta terbakar di Taman Damai Jaya dekat Skudai, Johor pada Rabu. — Gambar Hiasan

SEORANG remaja perempuan ditahan kerana dipercayai membaling bom petrol sehingga mengakibatkan sebuah kereta terbakar di Taman Damai Jaya dekat Skudai, Johor pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, aduan mengenai kejadian itu diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.

"Pada waktu kejadian, mangsa berada di rumah dan menyedari kereta miliknya yang diletakkan di pekarangan rumah dalam kawasan berpagar telah terbakar pada pukul 3 pagi.

BACA LAGI: Badan sudah mula mereput, lelaki ditemui maut dalam kereta mewah di Besut

BACA LAGI: Jurugambar rakam majlis aspirasi SMK Ayer Molek sayu, tak sangka gambar Faiz Amran tinggal kenangan

"Sehubungan itu, bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Balai Polis Nusa Bestari bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri membuat tangkapan pada pukul 3.50 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau lagi, tangkapan tersebut melibatkan seorang wanita warga tempatan berusia 17 tahun.

"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan hasil saringan air kencing mendapatinya negatif dadah.

"Polis turut merampas barang-barang antaranya dua botol kaca, dua notis ugutan, satu tong mengandungi minyak petrol dan satu kereta biru gelap.

"Siasatan awal mendapati suspek menerima upah daripada sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along untuk membuat ugutan jenayah dengan cara khianat dengan api ke atas kediaman mangsa yang gagal melunaskan pembayaran pinjaman wang," katanya.

Menurut Kumarasan, suspek kini sedang direman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama enam hari bermula Rabu hingga 2 Disember.

"Siasatan dilakukan bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram