DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melakukan kerja pembersihan lumpur di sebahagian Sungai Toba dekat Segambut, Kuala Lumpur, pada bulan depan sebagai sebahagian daripada pelan tebatan banjir kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, sepanjang 400 meter di sungai berhampiran Masjid Al-Ubudiyah dijadualkan untuk dibersihkan sebanyak tiga kali setahun.
“Kerja pembersihan lumpur yang ketiga untuk tahun ini telah dijalankan antara 16 Oktober hingga 4 November.
“Namun, disebabkan cuaca hujan, DBKL telah memutuskan untuk membersihkannya sekali lagi pada bulan Disember,” katanya.
BACA LAGI: Sultan Ibrahim doakan seluruh mangsa banjir dilindungi
BACA LAGI: Cuti jemaah menteri dibekukan susulan banjir — PM Anwar
Hannah juga Menteri Belia dan Sukan berkata, DBKL turut menaikkan tembok penahan setinggi kira-kira satu meter sepanjang bahagian sungai itu pada pertengahan tahun ini.
“Ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti penahanan air di sepanjang kawasan yang lebih mudah melimpah apabila hujan lebat.
“Pintu penutup (flap gates) juga dipasang untuk mengelakkan air dari saluran perparitan mengalir ke dalam sungai apabila paras air meningkat,” ulas Hannah.
Hannah turut menambah DBKL juga sedang memantau perkembangan di sekitar kawasan tersebut bagi memastikan pasir dan lumpur tidak masuk ke dalam saluran perparitan atau jalan raya.
Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Sub Zon 4, Budihardi Sabei berkata, daripada lebih 400 rumah di sekitar kawasan itu, lebih 100 rumah berisiko mengalami banjir ketika hujan lebat.
“Daripada 100 rumah yang berisiko, sekurang-kurangnya 10 rumah berada pada risiko tinggi.
“Saya bersyukur atas usaha DBKL dan berharap pihak pemaju di sekitar kawasan ini akan memastikan sistem perparitan diselenggara dengan baik setiap masa,” ujarnya. — The Star/VIJENTHI NAIR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram