Kedai kopi di Sibu diarah jaga kebersihan atau bakal berdepan tindakan tegas


  • Massa
  • Khamis, 28 Nov 2024

Pemeriksaan kebersihan dilakukan di sebuah kedai kopi Gred C.

MAJLIS Perbandaran Sibu (MPS) serius dalam menangani aduan orang ramai mengenai tahap kebersihan yang tidak memuaskan di premis makanan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS, Yiing Sy Huat berkata, terdapat 702 kedai kopi dalam kawasan majlis perbandaran itu.

Daripada jumlah tersebut, 231 kedai kopi adalah bertaraf Gred A, 466 kedai mendapat Gred B dan lima kedai lagi Gred C.

Kedai kopi Gred A adalah yang paling bersih diikuti dengan Gred B dan Gred C.

“Premis Gred A diperiksa setiap dua tahun, Gred B setiap tahun dan Gred C setiap enam bulan,” kata Yiing.

BACA LAGI: Kadet UiTM maut kerana strok haba, tiada kecederaan dalaman — Ketua Polis Selangor

BACA LAGI: KPT tunggu laporan kematian pelajar UiTM didakwa kena dera, ditunggang seperti kuda ketika jalani latihan Palapes

Bercakap kepada wartawan semasa pemeriksaan ke atas lima kedai kopi gred C di bandar Sibu, Yiing berkata, pihaknya mengambil tindakan segera selepas menerima aduan.

"Pemeriksaan yang dilakukan ini adalah susulan daripada aduan awam.

“Kami menggesa semua pemilik premis makanan untuk sentiasa menjaga kebersihan kedai dan kami amat menggalakkan orang ramai untuk melaporkan isu mengenai kebersihan,” ujarnya.

Menurutnya, pihak MPS telah merampas straw minuman plastik, pinggan dan cawan lama dari premis-premis berkenaan.

“Pemilik kedai kopi Gred C ini telah diarahkan untuk meningkatkan tahap kebersihan dalam tempoh yang ditetapkan atau bakal berdepan tindakan lanjut,” tambahnya.

Yiing menjelaskan kriteria penarafan kebersihan merangkumi pelbagai aspek termasuk kebersihan tandas, dapur, kawasan penyediaan makanan, kipas, meja, kerusi serta pakaian pekerja.

Walaupun premis bertaraf Gred C masih dibenarkan beroperasi, beliau berkata, pemeriksaan tetap dilaksanakan dengan ketat bagi membantu mereka mendapat gred yang lebih baik.

Yiing turut memberi amaran bahawa tindakan lebih tegas akan diambil terhadap premis makanan makan yang gagal memenuhi piawaian kebersihan.

“Matlamat kami adalah supaya semua kedai kopi di kawasan MPS mencapai sekurang-kurangnya Gred B, jika tidak Gred A.

"Kami mahu pemilik mematuhi garis panduan dengan teliti untuk meningkatkan penarafan," katanya. — The Star/ ANDY CHUA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram