[VIDEO] Lelaki pukul tangan warga emas sampai lebam guna kayu lepas kena tegur buat bising ditahan polis di Masai


  • Tular
  • Rabu, 27 Nov 2024

Tangkap layar video memaparkan pelaku di luar pagar rumah mangsa sambil memegang cota kayu.

SEORANG lelaki bertindak mengasari dan memukul warga emas dengan menggunakan cota kayu selepas ditegur membuat bising di pekarangan rumah di Taman Rinting Masai, Johor baru-baru ini.

Menerusi video tular di media sosial sejak Selasa, lelaki tersebut membunyikan ekzos keretanya dengan kuat dan berkali-kali pada pukul 12 tengah malam.

Menurut pemilik video dengan akaun TikTok @suhada.99 yang dipercayai anak kepada mangsa, pelaku berasa marah dan bertindak di luar kawalan lalu memukul mangsa di tangan.

BACA LAGI: [VIDEO] Misteri bunyi aneh atas siling, terkejut rupanya ular sawa lebih 3 meter berhibernasi di Taiping

BACA LAGI: [VIDEO] Jalan dengan penjaga pun tak selamat, budak 3 tahun di Brazil nyaris diculik ketika bersiar-siar

Pelaku juga dikatakan sempat membuat ugutan terhadap ahli keluarga mangsa untuk melakukan perbuatan sama.

"Dia ugut akan datang lagi bawa geng dan alatan tertentu. Tangan ayah bengkak.

"Saya nak dia tahu cara beradab dengan orang tua, bukannya pukul sesuka hati," dakwanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, lelaki berusia 26 tahun itu berjaya ditahan di sekitar Masai selepas menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 59 tahun.

Suspek dilaporkan tidak berpuas hati selepas ditegur kerana membunyikan ekzos kereta yang bising dan bertindak memukul mangsa dengan sebatang kayu hingga menyebabkan kecederaan lebam di lengan kirinya.

Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Daerah SerI Alam sudah membuat tangkapan terhadap suspek selain merampas sebatang kayu.

Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek negatif dadah dan tiada memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 32 Kanun Keseksaan yang mana boleh dikenakan hukuman penjara selama tidak lebih 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram