
PEMANDU yang menggunakan Jalan Jinjang Utara, Kuala Lumpur menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengembalikan sistem lalu lintas sehala di sepanjang jalan itu.
Jalan berkenaan menjadi punca kemarahan bagi penduduk ekoran laluan dua hala menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Aktivis masyarakat, Yee Poh Ping berkata, lalu lintas dua hala yang sempit itu memburukkan lagi kesesakan terutama pada waktu puncak.
BACA LAGI: Penghapusan NGV: Pemandu teksi tertekan, minta kerajaan MADANI pertimbang subsidi khas
Aktivis masyarakat, Yee Poh Ping.
“Lori-lori sering meletakkan kenderaan di tepi jalan untuk memunggah barang dan secara tidak langsung menghalang aliran trafik,” katanya.
Poh Ping berkata, konfigurasi trafik sehala di jalan itu lebih sesuai untuk jumlah trafik di sekitar kawasan terbabit.
Sementara itu, seorang penduduk dan juga ahli perniagaan, Alex Tan berkata, walaupun terdapat papan tanda sehala di kedua-dua hujung jalan tetapi ramai pemandu tidak mengendahkannya.
"Pemandu-pemandu kenderaan ini menyebabkan gangguan lalu lintas," jelasnya.
Tambahnya, semasa pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Jinjang, stesen minyak berhampiran ditutup dan jalan itu dijadikan dua hala buat sementara waktu.
“Walaupun pembinaan MRT telah siap selama beberapa tahun, jalan itu masih dijadikan sebagai jalan dua hala,” katanya.
Ujar Poh Ping, penguatkuasaan trafik DBKL perlu bagi membantu memantau situasi trafik di jalan raya terutama pada waktu puncak.
Beliau menambah, tiada ruang tempat letak kereta yang sesuai untuk mereka yang pergi ke bank di Jinjang Utara termasuk ruang untuk lori memunggah. — The Star/MEGAT SYAHAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram