Penghapusan NGV: Pemandu teksi tertekan, minta kerajaan MADANI pertimbang subsidi khas


  • Massa
  • Rabu, 06 Nov 2024

Rata-rata pemandu teksi sekitar ibu negara berkata, keputusan itu tidak sepatutnya dilaksanakan berikutan ia menjejaskan pendapatan harian mereka.

ISNIN lalu, kerajaan mengumumkan, kenderaan dikuasakan dengan gas asli mampat (NGV) tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan bagi kegunaan di atas jalan raya bermula 1 Julai 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan itu dilaksanakan atas dasar keselamatan kerana kenderaan NGV didakwa sering menjadi punca kebakaran enjin.

Bagi meringankan beban pemandu teksi yang terjejas, kerajaan menerusi PETRONAS NGV Sdn Bhd memberi Bantuan Peralihan Kenderaan NGV sebanyak RM3,000 secara one-off kepada pemandu teksi yang layak.

Tinjauan Majoriti mendapati, pelbagai reaksi diberikan terutama dalam kalangan pemandu teksi di Lembah Klang yang dilihat sebagai golongan paling terjejas.

BACA LAGI: 'Terpaling mudahkan urusan', hikers beri pujian melambung, minta negeri lain contohi pengurusan cekap Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan

BACA LAGI: [VIDEO] Sentiasa sarung jersi JDT dari Kulai ke Norway, anak jati Johor tetap setia saat kalah menang

Screenshot 2024-11-06 204933

Salim berkata, bantuan peralihan RM3,000 diberi kerajaan tidak mampu menampung kos beralih ke bahan api lain.

Seorang pemandu teksi, Mohamad Salim Bawok, 64, berkata, keputusan itu tersebut tidak sepatutnya dilaksanakan kerana akan menjejaskan pendapatan mereka.

"Memang tidak patutlah kerajaan buat begitu. Apabila kerajaan menghentikan penggunaan NGV, ia menjejaskan pendapatan kami," katanya kepada Majoriti.

Katanya, bantuan RM3,000 secara one-off menerusi Bantuan Peralihan Kenderaan NGV tidak cukup untuk menampung kos peralihan ke bahan api lain.

"Kos memasang pun lebih daripada RM3,500 dan kami juga menanggung sendiri kos bagi penyelenggaraan lain," katanya.

Screenshot 2024-11-06 205101

Arumugam mahu kerajaan beri subsidi petrol atau diskaun kepada pemandu teksi.

Seorang lagi pemandu teksi, Arumugam Arullappa, 70, turut sependapat tidak bersetuju dengan keputusan yang diputuskan oleh kerajaan.

"Mereka bagi alasan susah, nanti meletup. Tetapi saya pakai NGV sudah 24 tahun dan tidak pernah berdepan dengan apa-apa masalah. Selama ini mungkin ada satu dua insiden begitu berlaku tetapi jarang sekali," ujarnya.

Arumugam turut berpendapat bahawa kerajaan perlu memberi subsidi petrol khusus untuk pemandu teksi.

"Saya menerima baik pemberian RM3,000 itu secara one-off, tetapi perlu ada subsidi petrol khusus atau diskaun untuk pemandu teksi. Jangan sama-rata dengan orang awam," katanya.

Screenshot 2024-11-06 205029

Azly menyokong usaha kerajaan menghentikan penggunaan NGV.

Berbeza dengan seorang lagi pemandu teksi, Azly Sulaiman, 50, yang menerima baik pengumuman itu, walaupun Bantuan Peralihan Kenderaan NGV RM3,000 yang diberikan tidak mencukupi.

"Bagi saya, bagus sebab sekarang NGV pun ada masalah. Terutama kereta-kereta kita yang dah lama. Bilangan stesen NGV sekitar Kuala Lumpur juga sudah terhad. Jadi, agak sukar bagi kami mendapatkan bahan api tersebut," jelasnya.

Namun, beliau mengakui penggunaan petrol sedikit sebanyak memberi beban kepadanya dan memohon agar kerajaan dapat memberikan subsidi khas kepada pemandu teksi.

"Contohnya macam kami pakai petrol, mahal. Jadi, kalau boleh berilah kami subsidi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram