Najib, Irwan dilepas tanpa bebas kes pecah amanah RM6.6 bilion


Hakim membenarkan permohonan DNAA oleh pihak peguam bela Najib dan Mohd Irwan pada Rabu.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mencapai keputusan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam kes pecah amanah RM6.6 bilion yang dikaitkan dengan pembayaran kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (Ipic).

Dalam keputusan ringkasnya, Hakim Muhammad Jamil Hussin berkata, beliau membenarkan notis usul difailkan peguam bela Najib dan Mohd Irwan untuk kedua-duanya diberikan DNAA atas alasan pihak pendakwaan tidak mematuhi Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Beliau berkata terdapat 'kelewatan luar biasa' dalam kes itu yang bermula pada 2018.

BACA LAGI: Najib antara 11 individu bakal dipanggil sebagai saksi perbicaraan kes 1MDB — Muhammad Shafee

BACA LAGI: Kes 1MDB: Najib diarah bela diri 25 pertuduhan penyelewengan

"Perbicaraan tidak dapat diteruskan walaupun tarikh pendengaran telah ditetapkan beberapa kali. Ini adalah kelewatan yang luar daripada kebiasaan," kata Hakim Muhammad Jamil pada Rabu.

Mahkamah menyatakan bahawa pihak pendakwaan gagal mematuhi Seksyen 51A CPC.

Seksyen 51A menghendaki pihak pendakwaan menyediakan dokumen tertentu kepada tertuduh sebelum perbicaraan dimulakan.

Hakim Muhammad Jamil kemudian membuat perintah supaya kedua-dua tertuduh diberikan DNAA daripada kesemua enam pertuduhan.

"Perintah DNAA tidak menjejaskan kes pendakwaan. Pihak pendakwaan masih boleh mendakwa mereka semula," katanya.

Beliau turut memerintahkan wang jaminan dibayar dikembalikan kepada tertuduh.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib dan Mohd Irwan masing-masing membayar jaminan RM1 juta dalam kes tersebut.

Terdahulu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, dan Datuk Seri K Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan, meminta kuasa sedia ada mahkamah untuk memberikan DNAA selepas tiada permohonan oleh pihak pendakwaan.

"Kes ini telah berlarutan terlalu lama. Sudah enam tahun. Saya berdoa pihak Hakim akan menyelesaikannya hari ini," kata Kumaraendran.

Mahkamah sebelum ini mendengar daripada pihak pendakwaan, diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai kawalan ke atas penyahklasifikasian dokumen sulit yang akan digunakan dalam perbicaraan.

Dokumen terlibat adalah daripada mesyuarat Kabinet, Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar dan Kementerian Pengangkutan.

Pada 25 Oktober 2018, Najib, 71, dan Mohd Irwan Serigar, 67, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion dalam pengurusan dana kerajaan membabitkan pembayaran kepada Ipic.

Najib dan Mohd Irwan dituduh bersama melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram