PEGUAM kepada usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida (DSV) tampil bersuara berhubung tindakan penyitaan kereta mewah milik anak guamnya yang dilaksanakan pada Isnin.
Tindakan tersebut diambil susulan tuntutan hutang RM1 juta oleh seorang kontraktor.
Menerusi hantaran di Facebook, peguamnya, Datuk Adnan Seman memaklumkan bahawa DSV sudah menerima dokumen berkaitan pelaksanaan writ penyitaan yang dilakukan meskipun dia kini berada di luar negara.
Adnan turut berkata, DSV mempersoalkan tuntutan tersebut dan langkah seterusnya akan dibuat selepas penilaian terhadap semua dokumen berkaitan dilakukan.
“Saya telah diarahkan oleh anak guam untuk menyatakan bahawa tuntutan tersebut sememangnya dipertikaikan dan saya akan meneliti semua dokumen berkaitan bagi menentukan tindakan seterusnya di sisi undang-undang,” tambahnya.
Sebelum ini, laporan mengenai penyitaan kereta mewah milik DSV akibat hutang tertunggak sebanyak RM1 juta tular di pelbagai media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram