SEORANG anggota Tentera Udara Nasional Indonesia (TNI) dilaporkan maut akibat dipanah petir ketika hendak menambat perahu di Waduk Cengklik, Boyolali, Indonesia.
Kejadian tragis tersebut berlaku sekitar pukul 2.30 petang pada Ahad.
Mangsa, Khoirul Arba’i, 39 tahun merupakan warga Malangjiwan, Kecamatan Colomadu, Kabupaten Karanganyar, Indonesia.
Menurut laporan, Khoirul bersama beberapa orang rakannya berangkat ke Waduk Cengklik sekitar pukul 2 petang untuk menangkap ikan.
BACA LAGI: [VIDEO] Eropah di ambang perang, banyak negara mula kerah aset
Namun, disebabkan hujan turun dan bot mereka tersangkut, mereka memutuskan untuk berteduh di sebuah pondok.
Ketua Perhubungan Awam Polis Boyolali, Inspektor Arif Mudi menjelaskan bahawa ketika mangsa sedang berusaha mengikat bot yang tersangkut, namun secara tiba-tiba petir menyambar.
"Mangsa dipanah petir dan dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Dua rakan mangsa kemudian terpaksa berenang ke tepi kolam untuk mendapatkan bantuan daripada penduduk setempat.
Dengan segera, penduduk membantu membawa mangsa ke Hospital Angkatan Udara (RSAU) Dr. Siswanto Lanud Adi.
Setibanya di hospital, Khoirul Arba'i menjalani pemeriksaan kesihatan, namun disahkan meninggal dunia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram