PEMILIK kedai berang apabila wujud pelanggan yang selamba tidak membayar makanan selepas enak menjamu selera hidangan yang diambil dalam kejadian di sebuah restoran di Kulim, Kedah pada Sabtu.
Menerusi hantaran di Facebook, seorang pengguna, Kulim TV mendedahkan perkara itu dengan memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di restoran berkenaan sebagai bukti.
"Bankrap peniaga kalau kerap kena situasi macam ini," tulisnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Eropah di ambang perang, banyak negara mula kerah aset
Pada awalnya, rakaman menunjukkan lelaki itu membungkus ayam goreng dan meletakkannya di bakul motosikal miliknya.
Malah, video itu turut menunjukkan gelagat suspek meninjau keadaan sekeliling bagi memastikan tiada orang memerhatikan kegiatannya.
Selepas itu, lelaki berkenaan bertindak mengambil pula hidangan yang diletakkan di dalam pinggan untuk dinikmati seorang diri di restoran berkenaan.
Lebih licik, sebelum beredar, suspek sempat meminta pekerja untuk membungkus empat air yang kemudiannya dibawa ke motosikalnya tanpa membuat sebarang pembayaran.
"Pening tauke nak tanggung kos kerugian, kesian pada peniaga," tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berasa geram dengan tindakan orang yang tidak bermoral itu.
"Patut ramai pelanggan. Makan percuma rupanya haha," tulis Ony Hairani.
"Orang macam ini hidup dia tidak selamat punya kerana makan benda yang haram," tulis Selipar Jepon.
"Apa yang dimakan jadi darah daging... Rosak keturunan itu nanti," tulis Rose Tan.
Setakat berita ini ditulis, masih tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkenaan dengan kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram