PENGGUNAAN dron kini dilaksanakan bagi memantau anggota polis yang melakukan kesalahan seperti bermain golf ketika bertugas, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Razarudin berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sudah mula menggunakan dron untuk menjalankan siasatan.
Beliau berkata, JIPS diarahkan supaya lebih proaktif kerana tidak perlu menunggu kes dilaporkan.
Seramai 1,747 pelatih polis dari empat pusat latihan polis diraikan pada Jumaat. — The Star
Katanya, mereka sedang menjalankan siasatan dan pengawasan sendiri terhadap mana-mana anggota yang disyaki melakukan salah laku.
"Ini bagi memastikan tahap integriti dan tadbir urus yang baik dalam pasukan polis.
"Semua pegawai JIPS di peringkat daerah, negeri dan persekutuan ditugaskan untuk menangkap mereka yang mencemarkan imej pasukan polis.
"Kita boleh lihat JIPS menahan pegawai yang pergi ke pusat karaoke, berpesta atau berhibur," katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan mereka yang berada dalam jawatan penyeliaan bagi memastikan kakitangan bawahan mematuhi peraturan dan undang-undang.
"Tidak ada gunanya penyelia yang gagal menyelia.
"Semua anggota dan pegawai hendaklah sentiasa berpakaian kemas dan profesional. Mereka mesti bertenaga dan produktif dalam berkhidmat kepada rakyat.
"Bersikap rapi adalah perkara penting semasa bertugas," jelasnya.
Beliau juga memberitahu para pelatih polis supaya menjauhi sebarang salah laku terutama rasuah.
Katanya, kerjaya dalam pasukan polis cukup mencabar walaupun tanpa godaan tambahan terutama rasuah.
"Ujian integriti akan dilakukan secara berterusan manakala audit kewangan dan pemprofilan adalah penting untuk mengetahui sama ada seseorang itu hidup di luar kemampuan mereka.
"Terdapat 299,296 permohonan sejak 2020 untuk menyertai pasukan polis, tetapi hanya 19,283 atau 6.4 peratus yang berjaya.
"Jadi, saya menyeru anda semua untuk menggunakan sepenuhnya peluang berharga ini untuk berkhidmat kepada rakyat, pasukan polis dan negara dengan sebaik mungkin,” katanya ketika majlis graduasi 1,747 pelatih polis dari empat pusat latihan polis.
Beliau menambah bahawa terdapat peningkatan dalam kalangan bukan Melayu menyertai pasukan polis.
"Sebelum ini, kita longgarkan syarat untuk mendaftar, yang mana pemohon tidak perlu mendapatkan kredit untuk Bahasa Malaysia.
"Ia sekali gus menyebabkan peningkatan bukan Melayu menyertai pasukan polis," katanya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram