Pengerusi BERSIH puji PM Anwar positif terima gred D


  • Massa
  • Jumaat, 22 Nov 2024

BERSIH memberi penarafan gred D iaitu 45.8 peratus terhadap prestasi pemerintahan kerajaan Madani dalam tempoh dua tahun ini. — Facebook/BERSIH

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyambut baik reaksi positif Perdana Menteri, dan menyifatkan beliau terbuka dalam menerima kritikan.

Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi maklum balas positif terhadap Gred D dalam laporan penilaian prestasi dua tahun Kerajaan Perpaduan.

"Maklum balas positif itu turut disusuli iltizam untuk memperbaiki gred di masa akan datang, adalah gambaran keterbukaan Perdana Menteri dalam menerima kritikan.

BACA LAGI : [VIDEO] Tak puas hati kalah main pickleball, lelaki 'head kick' pemain lawan di Mexico

BACA LAGI : Lebih 500 remaja, kanak-kanak perempuan seawal usia 10 tahun hamil luar nikah di Selangor

"Laporan prestasi tersebut adalah bersifat sementara dan kerajaan masih mempunyai tempoh tiga tahun untuk membuat penambahbaikan.

"Laporan tersebut memperakui sedikit kemajuan yang dicapai untuk reformasi institusi seperti meluluskan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pindaan Akta Audit 1957 dan memperkukuh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen selain agenda lain yang masih dalam proses libat urus," katanya dalam satu kenyataan di laman media sosial pada Khamis.

Justeru, beliau turut menggesa kerajaan untuk melihat kembali agenda yang dijanjikan dengan lebih serius, memasuki tahun ketiga dan melaksanakannya sementara mandat masih berbaki.

Pada Rabu, BERSIH memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.

Sementara itu, media melaporkan Anwar menegaskan masih terlalu awal untuk menilai keseluruhan pencapaian kerajaannya.

"Tentang BERSIH bagi D, tak apalah BERSIH bagi D, bukan F. UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dapat D, SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) esok naik A," katanya di Parlimen.

BERSIH turut meletakkan Anwar di belakang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram