Berhari-hari sembunyikan mayat, penganggur didakwa tumbuk muka makcik sampai maut di Ipoh


Lee Hao Yi (memakai pelitup muka) didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada Jumaat atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya.

SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya.

Lee Hao Yi, 21, mengangguk faham apabila pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif pada Jumaat.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin, manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.

Mengikut kertas pertuduhan, Lee didakwa membunuh Lee Huey Ting, 54, antara pukul 1 pagi pada 6 November dan pukul 8.25 pagi pada 10 November di No 20, Jalan Pengkalan Barat 25, Taman Puteri Lindungan Bintang, Kinta, Ipoh.

Tiada jaminan ditawarkan dan perbicaraan kes seterusnya dijadualkan pada 18 Februari 2025.

Pada 11 November, Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Polis Zulkafli Sariaat dalam sidang akhbar menyatakan tertuduh disyaki menyebabkan kematian ibu saudaranya, yang mayat reputnya ditemui di dalam sebuah kediaman pada Ahad.

Beliau mendakwa tertuduh berang dengan mangsa dan menyerangnya sebelum menyimpan mayat mangsa di dalam bilik rumah mereka.

"Mereka tinggal bersama. Suspek hilang sabar, marah dan menumbuk wanita itu bertubi-tubi sehingga terjatuh dari tangga," katanya lagi.

Zulkafli berkata, tertuduh menyangka mangsa hanya tidak sedarkan diri yang menyebabkannya bertindak memasukkan mayat wanita itu ke sebuah bilik.

Polis kemudiannya menemui mayat itu pada Ahad selepas menerima panggilan kira-kira pukul 8.30 pagi oleh abang mangsa.

DCP Zulkafli berkata, mayat mangsa dipercayai reput di dalam bilik berkenaan selama empat hari. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram