SUSPEK yang dikaitkan dengan dakwaan buli seorang lagi pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan didakwa pada Jumaat.
Ketua Polis Kuala Lumpur. Datuk Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi berkata, suspek akan didakwa di mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Beliau menambah, seramai 16 orang telah direkodkan keterangan mereka berhubung kejadian itu.
Sebelum ini, polis menerima laporan mendakwa seorang pelajar Tahun Satu di universiti itu cedera pada 21 Oktober selepas dipanggil di padang kawad UPNM.
Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami patah tulang rusuk dan tulang belakang selepas dipijak pelajar Tahun Tiga.
Susulan daripada kejadian itu, Rusdi dalam satu kenyataan memaklumkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, seorang kadet dari UPNM didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 November lalu kerana menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar junior menggunakan seterika wap.
Amirul Iskandar Norhanizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Egusra Ali.
Mengikut kertas pertuduhan, Amirul Iskandar didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap panas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik asrama di akademi tentera, kira-kira pukul 11.45 malam, 22 Oktober lepas. — The Star/Justin Zack
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram