PENGUMUMAN kerajaan bakal menamatkan sepenuhnya perkhidmatan kenderaan dikuasakan dengan gas asli mampat (NGV) bermula 1 Julai 2025 mendapat pelbagai reaksi terutama pemandu teksi.
Rata-rata pemandu teksi berpendapat langkah itu menjejaskan kos operasi dan pendapatan mereka kerana sebilangan pemandu teksi berpendapat Bantuan Peralihan Kenderaan NGV sebanyak RM3,000 yang diberi kerajaan tidak dapat menampung kos peralihan ke bahan api lain.
Namun, keputusan kerajaan berkenaan adalah selaras dengan matlamat Malaysia yang menyasarkan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak berkata, dua perkara yang perlu difikirkan secara holistik iaitu pemberian pampasan lebih tinggi kepada mereka yang terjejas dan peranan rakyat Malaysia dalam menjaga kelestarian alam untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDGs).
Beliau menambah, perkara itu sejajar dengan enam misi Kerajaan MADANI yang tidak mengabaikan kebajikan rakyat sekali gus memelihara kelestarian alam melalui Reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.
Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM, Dr Mohd Yusoff Ishak.
"Tentulah kerajaan perlu membayar pampasan yang lebih tinggi kepada pengguna kenderaan NGV. Namun, terdapat kekangan kewangan.
"Pada masa sama sebenarnya kerajaan juga turut melihat dari segi risikonya setelah ada banyak kes di dalam dan juga di luar negara di mana kebakaran melibatkan kenderaan NGV.
Mengulas mengenai pandangannya berhubung tindakan kerajaan itu, menurutnya, keputusan tersebut pastinya diambil selepas kerajaan meneliti faktor ekonomi, alam sekitar dan juga masalah yang dihadapi masyarakat.
"Saya fikir tentulah ada alasan yang munasabah oleh pihak kerajaan memandangkan terdapat kes pemilik kenderaan NGV kehilangan nyawa di dalam dan luar negara," katanya kepada Majoriti.
Lebih penting, beliau menyifatkan keputusan kerajaan itu selaras dengan matlamat Malaysia yang menyasarkan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Dengan mengambil kira kos penyelenggaraan, beliau berkata, ia mungkin tidak berbaloi sekiranya penggunaan kenderaan menggunakan bahan api tersebut diteruskan.
"Pada pendapat saya, ia termasuk dari segi transisi Malaysia menuju ke arah karbon sifar bersih menjelang 2050.
Di Shenzhen, hampir semua teksi kini menggunakan EV untuk mengurangkan pencemaran udara. — pyhs.org
Bagi mencapai matlamat Kerajaan MADANI, tidak mustahil jika kenderaan khususnya perkhidmatan teksi beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik (EV) seperti dilakukan oleh negara China yang merupakan antara pasaran terbesar kenderaan EV dari segi pengeluaran mahupun jualan.
Menariknya, apabila kerajaan negara Tembok Besar itu memainkan peranan dengan melaksanakan dasar agresif kerajaan China seperti subsidi, pengecualian cukai, dan pembinaan rangkaian pengecasan EV.
China memulakan teknolgi berkenaan di bandar-bandar besar seperti Beijing dan Shenzhen, hampir semua teksi dan bas awam kini menggunakan EV untuk mengurangkan pencemaran udara.
Di Shenzhen, kenderaan perkhidmatan awam mereka telah beralih ke kenderaan EV sejak 2019 manakala Beijing menyasarkan penggunaan sepenuhnya kenderaan EV menjelang 2025.
Situasi di China boleh dijadikan contoh terbaik bagaimana peralihan EV dapat dilakukan dengan komitmen kerajaan dan sokongan infrastruktur.
Enjin kenderaan EV bergantung sepenuhnya kepada tenaga elektrik .
Kenderaan EV, mesra alam atau mengundang padah?
Susulan beberapa kes kehilangan nyawa melibatkan kenderaan NGV, Dr Yusoff menyifatkan langkah kerajaan menamatkan sepenuhnya perkhidmatan NGV sebagai usaha kerajaan memberi masa kepada pemilik kenderaan gas asli tersebut untuk beralih kepada kenderaan EV.
Bagaimanapun, banyak laporan antarabangsa berkaitan kenderaan EV terbakar susulan keadaan bateri yang tidak selamat dan beberapa faktor lain.
Dr Mohd Yusoff ketika mengulas pandangannya berhubung isu itu yang berlaku di dalam mahupun luar negara, katanya, masalah itu tidak selalu berpunca daripada kenderaan itu sendiri, sebaliknya, cara pemanduan oleh pemandu terbabit menyumbang kepada risiko kebakaran.
"Kenderaan konvensional juga terdedah dengan risiko kebakaran. Jadi, tidak boleh dilabelkan kepada sesuatu jenis kenderaan sahaja. Kita perlu melihat dari segi penggunaan dan juga faktor-faktor luaran," jelasnya.
Selain itu, beliau juga berkata, pihak berkaitan perlu meneliti untuk mewujudkan satu sistem yang lebih mesra alam dan selamat dalam mengurus kenderaan EV yang sudah tidak digunakan atau disita.
"Jika berlaku pertambahan bilangan kenderaan EV yang disita, bagaimana pihak berkuasa merawat ataupun menguruskan bateri tersebut kerana bateri inilah yang dikatakan menjadi punca kepada kejadian kebakaran dan sebagainya.
"Kebanyakannya kereta usang dilambakkan di bengkel atau di merata tempat. Ini adalah pengurusan yang tidak mesra alam dan tidak sistematik," ujarnya.
Isu lambakan kereta EV pernah terjadi di bandar Hangzhou tahun lalu selepas ia tidak lagi digunakan oleh pemilik kenderaan terbabit.
Memetik laporan Kosmo, perkara itu berlaku ekoran lambakan penghasilan kereta EV dan kenaikan taraf spesifikasi yang begitu progresif menyebabkan pengguna lebih selesa memiliki kereta terkini sehingga model lama terbiar.
Jadi, tidak mustahil jika tahun 2050 kumpulan pemandu teksi beralih ke penggunaan kenderaan EV. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram