Percaturan Fandi Ahmad dikritik tapi jersi Sri Pahang cetus tanda tanya


  • Podium
  • Ahad, 19 Nov 2023

Sebahagian pemain Sri Pahang ketika aksi persahabatan menentang Selangor. — Facebook/SriPahang

AKSI kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 membabitkan Harimau Malaya memberi ruang kepada beberapa kelab Liga Super membuat perlawanan persahabatan bagi memperkasakan pasukan masing-masing sebelum menutup tirai Liga Malaysia (Liga M).

Antara perlawanan persahabatan yang berlangsung ialah Perak FC menentang pendahulu Liga 1 Indonesia, Borneo FC yang berakhir dengan keputusan The Bos Gaurus (TBG) tewas di tangan skuad Pesut Etam di Stadium Segiri Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia.

Selain skuad TBG, sebuah lagi pasukan Liga Super yang membuat aksi persahabatan ialah Sri Pahang menentang Selangor FC dengan menyaksikan perlawanan berkesudahan seri 2-2.

Berdasarkan hantaran di laman Facebook, penyerang import Brazil, Rafael da Silva dan Syazwan Andik menjadi penjaring untuk Sri Pahang dalam aksi persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Walaupun skuad Sri Pahang berhasil mengikat anak-anak buah Tan Cheng Hoe dalam aksi pemanas badan berkenaan namun ia tidak menghentikan penyokong untuk melemparkan kritikan kepada pasukan kendalian Fandi Ahmad itu.

WhatsApp Image 2023-11-19 at 13.16.40

Rafael mencetak satu jaringan dalam membantu Sri Pahang mengikat Selangor pada aksi persahabatan. — Facebook/SriPahang

Sebahagian penyokong Tok Gajah mengkritik percaturan yang dilakukan pengendali kelahiran Singapura itu kerana tidak memberi peluang kepada pemain muda untuk mendapatkan pengalaman.

“Pemain yang sama, kualiti yang sama. Tak ada perubahan taktikal, bakat baru negeri Pahang. Pemain muda Pahang menonjol di tempat lain. Tak ada sebarang pengajaran. Habis musim, musim baru sama juga,” kata penyokong, Azaman Koming.

“Rasanya daripada buat persahabatan hujung-hujung musim pun dah nak habis lebih baik fokus untuk musim yang baru kot dan lebih baik rombak mana-mana yang patut. Tidak larat dah nak tengok tiap-tiap musim sama saja,” komen penyokong, Atthyah Naurah.

“Pemain-pemain muda tolong lah jangan simpan ye Fandi Ahmad... pakai yang senior saja sampai ke sudah,” tambah penyokong, Din Patin yang berharap agar ubi muda Tok Gajah diberi kesempatan untuk bersinar.

Walaupun menerima kritikan pedas namun jersi berwarna biru gelap dan hitam yang disarung pemain ketika perlawanan berkenaan mencuri tumpuan penyokong dengan rata-rata mereka memuji kecantikan kit baharu Tok Gajah itu.

Menyoroti ruangan komen penyokong, jersi berkenaan difahamkan adalah edisi untuk sesi latihan Sri Pahang dan bukannya kit baharu untuk saingan musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram