[VIDEO] Pekerja butik rugi RM4,000 serah barang kemas pada wanita tidak dikenali tanpa sedar di Kuantan


  • 112
  • Sabtu, 16 Nov 2024

Tangkap layar memaparkan suspek (kanan) mendekati pekerja (kiri) terbabit sebelum mengambil barang kemas milik mangsa.

SEORANG pekerja sebuah kedai barangan kosmetik kerugian kira-kira RM4,000 selepas diperdaya wanita tidak dikenali sehingga menyerahkan barang kemas miliknya dalam kejadian di Jaya Gading dekat Kuantan, Pahang pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang berusia 18 tahun baru dua minggu bekerja sebagai pembantu jualan kosmetik di premis tersebut.

"Mangsa didatangi suspek pada pukul 1 tengah hari pada 14 November lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ibu kami baru meninggal, kini dia juga pergi di bulan sama' — Abang mangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Pemilik 4x4 rayu henti sebar berita palsu, kanak-kanak tak sengaja dilanggar di Sabah selamat

"Suspek telah bertanya tentang barangan kosmetik yang dijual dan berborak tentang barang kemas yang dipakai oleh pengadu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas beliau lagi, mangsa kemudiannya tanpa sedar telah menyerahkan seutas gelang dan rantai serta sebentuk cincin emas kepada suspek.

"Dia hanya menyedari kehilangan barang kemas miliknya selepas suspek keluar dari kedai," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati pengadu tidak pernah melihat suspek tersebut datang kedai sebelum ini.

"Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan masih tiada tangkapan dibuat terhadap suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an sehingga kini.

"Orang ramai yang mengenali wanita tersebut diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan suspek memasuki sebuah kedai kosmetik dan mendekati pekerja terbabit sebelum mengambil barang kemas milik mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram