LORONG belakang di Jalan Sultan, Kuala Lumpur yang sebelum ini terhalang oleh peniaga makanan, kini boleh diakses oleh kenderaan selepas tindakan penguatkuasaan diambil.
Selepas StarMetro mengetengahkan isu itu pada Julai dan Ogos lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak mengusir peniaga dan merobohkan struktur haram di lorong belakang tersebut.
Ahli Lembaga Penasihat Kuala Lumpur, Andre Lai berkata, DBKL kemudian membersihkan dan menaik taraf saluran air yang dipenuhi sisa makanan.
Menurutnya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut mengalihkan sampah yang bertaburan di sepanjang lorong belakang itu.
"Lorong belakang telah dipulihkan kepada keadaan asal, membolehkan kenderaan menggunakannya untuk mengakses Jalan Pudu dan Jalan Sultan," katanya mengakui bahawa kehadiran peniaga berisiko mencemarkan imej Chinatown.
Beliau berkata, SWCorp juga menyediakan tong sampah kepada pemilik kedai di Jalan Sultan dan kutipan sampah akan dilakukan dua kali sehari.
"Ini akan menyelesaikan masalah longgokan sampah yang sering melimpah dari tong sampah yang diletakkan di lorong belakang," katanya.
Pada 30 Oktober, kakitangan SWCorp, DBKL dan Alam Flora Sdn Bhd juga dilihat mengagihkan tong sampah kepada pemilik perniagaan.
Sementara itu, ujar Andre, selain lorong belakang Jalan Sultan, DBKL juga telah mencantikkan Lorong Petaling, yang dahulunya merupakan lokasi pasar lambak dikenali sebagai Pasar Karat.
"DBKL turut bekerjasama dengan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam untuk mencipta pemasangan seni berupa siluet yang dipotong daripada kepingan logam, menggambarkan tarian tradisional mewakili pelbagai etnik di Malaysia," tambahnya.
Pemasangan tersebut terletak di persimpangan Lorong Petaling dan Jalan Sultan, manakala seni dinding di lokasi asal Pasar Karat telah dikekalkan.
Menurutnya, fasa seterusnya bagi projek itu akan melibatkan penurapan semula jalan dengan konkrit bercetak interlocking, menaik taraf sistem saliran dan mengecat semula bangunan.
Dalam pada itu, mengulas lanjut tentang bumbung Jalan Petaling, Andre berkata, projek berkenaan telah ditangguhkan.
"Proses tender untuk projek ini masih belum dimulakan. Saya akan membuat susulan dengan pengarah eksekutif DBKL mengenai perkara ini," katanya.
Pada Februari lalu, StarMetro melaporkan bahawa mesyuarat antara pihak berkepentingan dan pihak berkuasa telah dimulakan dalam usaha mencantikkan Jalan Petaling.
Projek yang pada awalnya dijadualkan bermula pada awal September telah mengalami penangguhan berulang kali dan mungkin ditangguhkan hingga awal tahun depan. — The Star/JAROD LIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram