SEMUA kenderaan yang dikuasakan dengan gas asli mampat (NGV) tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan di atas jalan raya di negara ini atas dasar keselamatan bermula 1 Julai 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Petronas juga akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat dalam pasaran negara sebelum penamatan sepenuhnya bermula tarikh sama.
Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Oktober lalu selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
BACA LAGI: [VIDEO] Ibu tunggal cipta sejarah hasilkan 4 aplikasi tentang Sabah dari Gunung Kinabalu
"Keputusan itu diambil atas beberapa faktor termasuk isu keselamatan kepada pengguna terutamanya pemilik kenderaan yang dikuasakan dengan NGV.
"Berdasarkan rekod, tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV adalah antara 1995 sehingga 2014 lalu.
"Tempoh ini memberi indikasi bahawa keseluruhan kenderaan yang terbabit pada hari ini sudah berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV dan perlu digantikan," katanya.
Berdasarkan keputusan dasar yang diumumkan oleh Loke, pemilik kenderaan NGV yang layak akan menerima bantuan dalam bentuk baucar RM3,000 untuk beralih kepada kenderaan petrol yang akan dibayar dalam tempoh 30 hari.
Permohonan untuk bantuan ini bagi teksi NGV dan kenderaan yang dikuasakan sepenuhnya oleh gas asli akan ditutup pada 31 Disember tahun ini.
Sementara itu, permohonan untuk teksi dwi-bahan api akan ditutup pada 30 April 2025 kerana semua kenderaan tersebut perlu beroperasi dengan petrol menjelang 1 Julai tahun yang sama. — The Star/MARTIN CARVALHO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram