[VIDEO] Termakan hasutan syaitan ketika mabuk, pemuda Indonesia tergamak tamatkan riwayat ibu sendiri angkara tidak dibelikan telefon pintar


  • Benua
  • Khamis, 14 Nov 2024

Seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol bertindak membunuh ibunya, Suwati kerana tidak mahu membelikannya telefon.

PENDUDUK setempat digemparkan mengenai penemuan mayat seorang wanita yang dilaporkan dibunuh oleh anak kandungnya sendiri gara-gara tidak membelikannya telefon pintar dalam kejadian di perumahan Puri Tambakrejo, Desa Tambakrejo Gang Prahu RT 5/RW 8, Jawa Timur, Indonesia pada Rabu.

Maklumat awal menunjukkan bahawa suspek, Hendrikus pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan mengamuk selepas permintaannya untuk mendapatkan telefon pintar ditolak oleh ibunya, Suwati yang berusia 50 tahun.

Dibawah pengaruh alkohol, lelaki yang berusia 30 tahun itu bertindak mengasari Suwati sebelum menikam leher mangsa menggunakan pisau dapur.

BACA LAGI: [VIDEO] Demi pastikan si bulus muncul juara dunia, 'bibik' tak kisah berhabis wang ke Norway dan Amsterdam

BACA LAGI: Nikmati pengalaman sendirian dengan selamat, 5 tip berguna buat pengembara solo

Menurut seorang jiran, keluarga Suwati adalah pendatang yang baru sahaja menetap di kawasan itu kira-kira setahun yang lepas.

Mereka hanya mengenali mangsa sebagai Bu Wati dan tidak begitu pasti mengenai identiti anak yang menjadi suspek.

Saksi kejadian, Aan, menjelaskan bahawa insiden tersebut berlaku sekitar pukul 1 petang iaitu ketika beberapa penduduk terdengar teriakan yang datangnya dari arah rumah mangsa.

Apabila memasuki rumah tersebut, darah kelihatan berselerak dari ruang tamu hingga ke dalam bilik.

Selepas melakukan tindakan kejam itu, Hendrikus dikatakan tertidur di sebelah mayat ibunya yang berada dalam keadaan tengkurap dipercayai akibat mabuk teruk.

Warga setempat yang berada di tempat kejadian segera menangkap dan mengikat Hendrikus.

Menurut Aan, beberapa hari sebelum kejadian, dia pernah mendengar pertengkaran antara mangsa dan suspek dipercayai sebagai punca insiden itu.

"Adik Hendrikus juga beritahu, dia (pelaku) minta telefon. Sebelumnya memang teriak-teriak, waktu ditemukan ibunya sudah tidak sedar," katanya

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sidoarjo, AKP Fahmi Amarulla mengesahkan bahawa Suwati telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat beberapa luka di muka dipercayai berpunca daripada objek tajam.

Kini, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan penuh melalui bedah siasat yang dilakukan di Hospital Pusat Pendidikan Porong Bhayangkara. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram