"SUDAH lama saya tidak melihatnya (mangsa), saya fikir dia pulang ke kampung atau berpindah ke rumah lain dan tidak tinggal bersama anaknya lagi."
Itu kata seorang jiran selepas mengetahui penemuan mayat dalam peti sejuk beku dalam kes disyaki pembunuhan di kediaman dua tingkat di Taman OUG dekat Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Selasa.
Lelaki berusia lingkungan 30-an yang enggan dikenali itu berkata, dia sangat terkejut selepas melihat ambulans dan beberapa anggota polis tiba di kediaman terbabit.
BACA LAGI : Disyaki bunuh ibu, anak lapor polis lepas simpan mayat dalam kotak ais sejak 3 tahun lalu
BACA LAGI : [VIDEO] Rider ‘superbike’ rentung, terseret beberapa meter gagal elak kereta masuk simpang di Mongolia
"Sangat terkejut bila tahu ada kes ini.
"Pagi tadi nampak ada polis dan ambulans datang. Saya duduk sini sejak kecil dan ini kejadian paling besar berlaku," katanya.
Menurut lelaki itu lagi, suspek telah menetap di rumah itu sejak lebih 10 tahun.
Katanya, sebelum ini memang ada beberapa kes cubaan pencuri masuk rumah dan sebagainya, namun tidak sangka berlaku tragedi sebegini.
"Suspek seperti biasa, kalau jumpa saya, penduduk lain pun dia akan tanya khabar," ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan perbuatan kejam seorang lelaki yang tergamak membunuh ibunya berusia lingkungan 80-an sebelum disimpan di peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu di rumahnya di Taman OUG.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dipercayai terbongkar selepas suspek membuat panggilan 999 kira-kira pukul 9 pagi akibat masalah kesihatan kronik.
Difahamkan, suspek lelaki berusia 50-an itu membunuh ibunya di kediaman mereka pada Mac 2021. Mangsa kemudian dibalut dengan tuala dan plastik sebelum diletakkan di dalam peti sejuk beku tersebut.
Motif kejadian dipercayai berkaitan perselisihan berkaitan fahaman agama.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan kes terbabit dan kes dalam siasatan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram