
PENDUDUK di Kampung Dato' Abdul Ghani Othman, Teluk Ramunia, Pengerang, Johor berharap untuk menjadikan kampung itu sebagai hab udang kara sebagai tarikan pelancong.
Bagi merealisasikan rancangan itu, mereka memohon geran RM100,000 daripada program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani).
Ketua kampung itu, Mohd Noor Jamil berkata, dengan sokongan daripada Pejabat Daerah Kota Tinggi, penduduk kampung merancang menggunakan dana tersebut untuk menjadikan kampung berkenaan sebagai pusat udang kara dengan menawarkan hidangan makanan laut segar pada harga berpatutan.
“Kami sedang menyiapkan kertas kerja dengan pejabat daerah dan bakal menyerahkan permohonan tidak lama lagi.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
“Baru-baru ini, penduduk kampung bergotong-royong membina sebuah bot dasar rata yang dijangka akan siap hujung bulan ini.
“Beberapa rumah di kampung ini juga telah diubah suai bagi memenuhi permintaan untuk penginapan homestay.
“Kos penginapan adalah RM450 semalam bagi maksimum sehingga 20 orang,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai tarikan di kampung itu, Mohd Noor berkata, mereka bercadang menggunakan bot bagi menjelajah pulau di sekitar Pulau Lima, yang terletak kira-kira 2 kilometer dari jeti Tanjung Penyusop.
“Pengunjung akan dibawa mengelilingi pulau untuk melihat rumah api dan diberi demonstrasi tentang cara kami menangkap udang kara.
“Mereka kemudiannya akan dibawa menjamu selera di restoran tempatan yang menyajikan makanan laut yang segar (baru ditangkap),” tambahnya.
Menurut Mohd Noor, bot dasar rata itu sesuai digunakan memandangkan kawasan sekitar pulau tersebut dipenuhi dengan terumbu karang.
"Terumbu karang ini merupakan habitat bagi udang kara terbesar di Tanjung Penyusop, yang beratnya melebihi 3 kilogram.
"Setiap kilogram udang kara dijual pada harga sehingga RM130, bergantung pada harga pasaran dan tiada had tangkapan harian.
"Setiap hari, nelayan akan memasang perangkap udang kara pada waktu pagi dan memeriksanya pada waktu petang.
“Lazimnya, mereka hanya menjual seekor udang kara setiap hari untuk menampung kos perbelanjaan.
“Selebihnya udang kara disimpan dalam sangkar yang diletakkan di laut terbuka untuk mengekalkan kesegaran,” kata Mohd Noor.
Mohd Noor, yang juga ahli Persatuan Nelayan Pengerang, menambah bahawa terdapat 59 nelayan udang kara berlesen di kawasan itu.
“Kira-kira 90 peratus udang galah dijual terus ke restoran dan hotel tempatan, manalala selebihnya dieksport ke Singapura.
"Matlamat kami adalah untuk memastikan semua rakyat Johor dapat menikmati hasil tangkapan tempatan, makanan laut segar pada harga yang berpatutan," ujarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata program SejaTi Madani bertujuan memperkasa masyarakat melalui aktiviti sosioekonomi.
“Kami memberi tanggungjawab langsung dan mencabar kampung-kampung untuk melaksanakannya kerana setiap kampung diberi peruntukan antara RM50,000 dan RM100,000,” ujar Anwar. — The Star / REMAR NORDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram