POLIS menahan teman lelaki dan kakak angkat kepada remaja perempuan yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Farlim, George Town pada Ahad.
Menurut laporan media tempatan, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata, tangkapan dibuat selepas ujian air kencing terhadap kedua-dua individu didapati positif dadah.
Menurutnya, suspek masing-masing berusia 18 dan 19 tahun.
BACA LAGI: Lelaki mengaku tak bersalah cuba culik pemaju hartanah di JB, siap minta wang tebusan RM20 juta
“Mereka ditahan di ibu pejabat polis daerah Timur Laut pada pukul 5.55 pagi dan 6.05 pagi selepas didapati positif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada Ahad.
Sebelum ini, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Farlim pada Sabtu.
Mayat gadis itu ditemui orang awam kira-kira pukul 11.45 malam, yang kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis.
Difahamkan, terdapat kesan luka di lengan kiri gadis berkenaan dipercayai akibat terjatuh dari biliknya di tingkat 16 pangsapuri berkenaan.
Swee Sake sebelum ini berkata, siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram