[VIDEO] Kereta dipandu remaja 18 tahun terbabas masuk longkang elak lori lawan arus di Pasir Gudang


  • 112
  • Rabu, 06 Nov 2024

Kereta dipandu remaja warga Indonesia yang terbabas selepas mengelak sebuah lori yang melawan arus di Pasir Gudang, Johor pada Isnin lalu. — Facebook

SEORANG pemandu lelaki cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pasir Gudang, Johor pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berpunca daripada tindakan sebuah lori yang melawan arus sehingga menyebabkan kereta dipandu remaja berusia 18 tahun itu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.

Mohd Sohaimi berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi Isnin.

BACA LAGI: Rancangan besarkan pelabuhan Butterworth punca kajian projek terowong antara George Town-Seberang Perai masih belum selesai

BACA LAGI: Warga emas jadi tekong, sumbat 15 PATI dalam Mercedes Benz, Grand Livina di Tumpat

Beliau berkata, kereta jenis Honda Civic dipandu remaja warga Indonesia yang berada di lorong kanan itu dikejutkan dengan sebuah lori yang dipandu secara melawan arus.

"Kereta tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.

"Pemandu kereta cedera di dahi, tangan kanan dan luka di kaki. Mangsa kini sudah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Zeyrul Mohd Redzwan di talian 019-5324272," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram