Pasukan Malbatt di Lubnan terkena serpihan letupan serangan Israel, 6 anggota disahkan cedera


  • Primer
  • Khamis, 07 Nov 2024

Salah seorang daripada empat anggota pasukan UNIFIL Malaysia yang mengalami kecederaan akibat serangan Zionis.

PASUKAN Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 dan Malbatt 850-12 yang menyertai misi di Lubnan dilaporkan terkena serpihan letupan pada Khamis.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu ciapan di X berkata, susulan itu, beberapa anggota dikhuatiri mengalami kecederaan.

BACA LAGI: Penggunaan beg plastik sekali guna bakal dihentikan di seluruh negara menjelang 2026

BACA LAGI: [VIDEO] Skandal FashionValet: Siasatan SPRM kesan transaksi kewangan meragukan sejak 2018

Sementara itu, Reuters melaporkan, serangan Israel di bandar Sidon mencederakan tiga tentera negara Lubnan serta empat anggota pasukan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) dari Malaysia.

Lebih menyedihkan, serangan Zionis itu juga dilaporkan mengorbankan tiga orang awam warga tempatan.

Reuters yang memetik kenyataan dari tentera Lubnan melaporkan, serangan berkenaan menyasarkan sebuah kereta sewaktu ia mendekati pos pemeriksaan, sekali gus membunuh tiga warga Lubnan yang berada di dalam kenderaan itu.

Anggota tentera Lubnan yang cedera sedang menjalankan tugas kawalan di pos pemeriksaan itu, sementara anggota UNIFIL berkenaan sedang berada dalam kenderaan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan kebetulan sedang melalui pos pemeriksaan yang sama.

Dalam perkembangan sama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan mengesahkan insiden lima anggota Malbatt 850-12 yang baru tiba di Selatan Lubnan cedera akibat terkena letupan, manakala seorang anggota Malbatt 850-11 turut tercedera.

Dalam pada itu, pihak Majoriti turut menunggu respons daripada Kementerian Luar berhubung kejadian terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram