[VIDEO] Pelanggan tersalah bayar, penghantar makanan pulangkan RM20,341 tanpa ragu di Dubai


  • Benua
  • Sabtu, 09 Nov 2024

Kejujuran Muhammad (kanan) apabila sanggup memulangkan semula duit pelanggan di Dubai baru-baru ini meraih perhatian dalam kalangan warga maya di seluruh dunia. — Agensi

KEJUJURAN hati seorang penghantar makanan, Muhammad Mohsin Nazir apabila sanggup memulangkan semula duit pelanggan yang berjumlah 17,050 AED (RM20,341) di Dubai baru-baru ini meraih perhatian dalam kalangan warga maya di seluruh dunia.

Kisah itu bermula apabila seorang ekspatriat dari Poland, Kajetan Hubner, membuat kesilapan dalam pembayaran.

Kajetan pada asalnya ingin membayar 1,750 AED (RM2,087.80), namun disebabkan kekeliruan nilai wang, dia tersilap membayar sebanyak RM20,341.

Setelah menyedari kesilapan tersebut, Kajetan panik dan menyangka wangnya hilang. Dia mencari wang tersebut di bilik hotelnya selama dua jam, tetapi usahanya tidak berhasil.

BACA LAGI: [VIDEO] Rider ‘superbike’ rentung, terseret beberapa meter gagal elak kereta masuk simpang di Mongolia

BACA LAGI: [VIDEO] Keris makan tuan, lelaki Bugis hilang nyawa tertusuk senjata ketika upacara sambut pengantin

Harapan Kajetan seakan musnah sehingga keesokan harinya, dia menerima mesej mengejutkan daripada Muhammad.

Muhammad, yang baru selesai mengira wang selepas syifnya, terkejut apabila menyedari terdapat lebihan wang yang begitu besar.

Keliru dengan apa yang terjadi, Muhammad telah menghubungi ibunya dan meminta nasihat.

Dengan penuh rasa tanggungjawab dan atas nasihat ibunya, Muhammad yang berasal dari Pakistan segera menghubungi Kajetan semula untuk mengesahkan situasi tersebut dan mengatur pemulangan wang lebihan itu.

Keesokan harinya, Dia menyerahkan kembali wang tersebut kepada Kajetan dengan selamat.

Tersentuh dengan kejujuran Muhammad, Kajetan menawarkan penghargaan sebanyak 300 AED (RM357) sebagai tanda terima kasih. Namun, Muhammad menolak dengan rendah hati, menyatakan bahawa ganjaran sebenar ada bersama ALLAH.

Tindakan luar biasa Muhammad itu telah mendapat perhatian di media sosial, dengan pujian bertalu-talu terhadap kejujuran dan integritinya.

Sehubungan itu, syarikat penghantaran tempat Muhammad bekerja, Noon turut memberikan ganjaran sebagai penghargaan atas tindakan mulianya itu.

Kisah Muhammad bukan sekadar tentang wang yang dipulangkan, tetapi bukti bahawa dalam dunia yang kadangkala kelihatan mementingkan diri, masih wujud jiwa murni yang menjunjung tinggi kejujuran dan integriti. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram