Karnival MBMMBI strategi tingkat kemahiran dwibahasa pelajar, guru seluruh negara 


  • Primer
  • Ahad, 03 Nov 2024

Penglibatan pelajar dan murid secara beramai-ramai di peringkat sekolah dan kolej berupaya memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris.

PROGRAM Karnival Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah antara usaha kerajaan untuk memperkasakan kemahiran dwibahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Program yang dikendalikan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) itu menunjukkan reformasi besar di bawah pimpinan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Justeru, satu pasukan khas ditubuhkan untuk melaksanakan MBMMBI IPGM Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 sebagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran penggunaan dua bahasa itu secara menyeluruh.

BACA LAGI: Terima bajet paling besar, KPM komited pastikan tiada murid terpinggir

BACA LAGI: KPM laksana jawatankuasa khas kurangkan calon tak hadir SPM, cadang tambah 400 kelas hibrid tahun depan

Program yang melibatkan 27 kampus IPGM di seluruh negara itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan secara dalam talian serta bersemuka.

Demi menjayakan program itu, Rektor IPGM, Dr Mohd Azam Ahmad memaklumkan, aktiviti tersebut dilakukan secara santai agar dapat diterima dengan mudah oleh semua lapisan masyarakat.

Mohd Azam berkata, aktiviti seperti pertandingan pantun, bicara berirama, deklamasi sajak dan pengucapan awam merupakan antara elemen yang memperlihatkan kepelbagaian penggunaan bahasa secara lebih santai dan menarik.

Menurut beliau, tujuannya adalah untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih natural bagi membentuk kemahiran bahasa secara tidak formal dalam kalangan pelajar dan masyarakat.

Bukan itu sahaja, Karnival MBMMBI juga bertujuan menyambut usaha Pasukan Petugas Khas MBMMBI Kementerian Pendidikan (KPM) dengan merealisasikan pendekatan Sahabat Bahasa untuk mencapai beberapa objektif.

unnamed (16)

Mohd Azam menekankan pelaksanaan Karnival MBMMBI menerapkan kebersamaan.

Antaranya adalah memperkasakan bahasa Melayu (BM) dan memperkukuh bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan warga IPGM KPM.

Selain itu, menyemarakkan aktiviti kebahasaan warga IPGM KPM, melestarikan khazanah lisan Melayu menerusi pertandingan serta menggalakkan penghasilan karya ilmiah dan karya kreatif dalam kalangan pelajar dan pensyarah IPGM menerusi pameran buku.

"Di samping itu, IPGM juga ada inisiatif lain yang dipanggil sebagai sekolah pengajar di sekitar Kuala Lumpur supaya kita dapat menyemarakkan aktiviti-aktiviti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

"Penyertaan dalam sekolah pengajar melibatkan murid, siswa dan siswi IPG," katanya.

Sahabat Bahasa

Sahabat Bahasa merupakan satu konsep bimbingan dinamik antara rakan agar semua warga IPGM KPM dapat menguasai pengetahuan, kemahiran, nilai dan etika berbahasa.

Penguasaan BM dan BI yang terampil adalah penting supaya rakyat Malaysia dapat berkomunikasi dengan lancar dan yakin menggunakan kedua-dua bahasa itu.

Mohd Azam menjelaskan, melalui program Sahabat Bahasa, murid-murid diberi ruang untuk berinteraksi dalam bahasa Melayu dan Inggeris menerusi aktiviti santai seperti permainan dan pembacaan cerita rakyat.

unnamed (17)

Pertandingan bicara berirama antara aktiviti dianjurkan dalam Karnival MBMMBI.

Menurutnya, strategi itu bagi memastikan bahasa tersebut digunakan dalam konteks harian dan dapat melahirkan generasi yang cekap dan yakin bertutur dalam kedua-dua bahasa berkenaan.

Pelaksanaan Karnival MBMMBI IPGM yang turut menekankan konsep Sahabat Bahasa juga merupakan inisiatif untuk membudayakan dan menyemarakkan penggunaan dwibahasa.

Karnival berteraskan Pengisian Semarak MBMMBI berbentuk program interaktif dan aktiviti nilai tambah secara individu atau berkumpulan dalam BM atau BI.

“Murid terlibat akan dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan tertentu dan mereka mengikuti jadual ditetapkan oleh sekolah.

“Misalnya, jika mereka nak baca buku, bahan bacaannya dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Kalau nak bersajak, main permainan tradisional seperti dam, congkak atau catur pun menggunakan cara sama,” jelasnya.

Kerjasama DBP, agensi antarabangsa

Mahu melihat dasar itu disemarakkan lagi, Kampus Bahasa Melayu di IPGM juga dijadikan sebagai pusat kecemerlangan latihan guru dalam mendekati ruang yang lebih luas bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di luar.

Oleh itu, IPGM turut bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyemarakkan gerak kerja dalam usaha untuk memperkukuh kedua-dua bahasa.

Dalam pada itu, Mohd Azam berkata, pihaknya turut mengambil langkah menjalin kerjasama dengan pihak sekolah dan universiti dari luar negara.

unnamed (18)

Pelajar dapat menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris secara santai.

“Di peringkat kami memang sentiasa ada buat permohonan untuk buat kerjasama, tetapi perlu uruskan ikut peraturan dan cara-cara yang betul.

“Mungkin selepas ini ada sesi-sesi dan pendekatan strategi untuk belajar bahasa Inggeris dengan guru-guru dari Singapura.

“Amalan terbaik yang ada di Singapura boleh diikuti atau kita mungkin ada pertukaran kepakaran dalam kalangan guru-guru,” jelasnya.

Karnival itu juga menonjolkan budaya berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang betul walaupun datang dari pelbagai etnik dan budaya memandangkan tema karnival adalah ‘Seni Berbahasa Wahana Perpaduan Madani’.

Karnival MBMMBI IPGM itu turut diharap dapat memberi peluang kepada warga KPM amnya dan IPGM khususnya untuk melibatkan diri secara aktif dan memeriahkan aktiviti, selain dapat meningkatkan kecemerlangan penguasaan kemahiran bahasa.

Penglibatan pelajar dan murid secara beramai-ramai di peringkat sekolah dan kolej secara tuntasnya berupaya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris secara seiring dan senada di negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram