
SEJAK meninggalkan SM Inggeris Port Dickson, Negeri Sembilan pada tahun 1973, segelintir bekas pelajar institusi pendidikan itu kini lebih botak berbanding bekas guru mereka.
Perkara itu menimbulkan rasa lucu semasa perjumpaan semula sekolah tersebut, apabila ada dalam kalangan mereka yang menyamar sebagai bekas guru.
Namun, penyamaran salah seorang bekas pelajar yang berpura-pura menjadi bekas guru Matematik terbongkar apabila bekas guru Fizik, Toh Hong Leong, tertawa sambil mendedahkan bahawa situasi itu hanyalah gurauan semata.
BACA LAGI: Atasi 32 peserta lain, wanita Melaka usia 41 tahun dinobat pelatih terbaik kursus bomba paling sukar
"Dia hanya bergurau! Dia sebenarnya rakan sekelas kamu semasa Tingkatan Lima!," katanya.
Perjumpaan itu diatur oleh bekas ketua kelas, Thanabalan Mansor, yang berjaya mengumpulkan 63 orang bekas pelajar daripada salah satu institusi pendidikan terkemuka di Negeri Sembilan.
Alumni kelas 1973, yang dikenali sebagai 'Port Dickson Pals' (PDP) mengadakan majlis makan malam reunion ke-51 mereka di Port Dickson.
Pertemuan itu merupakan kemuncak kepada keterujaan yang bermula apabila Thanabalan mula berkongsi rancangan berjumpa semula dalam kumpulan WhatsApp PDP.
Pelajar yang berkumpul semula di aplikasi WhatsApp kemudian memuat naik gambar-gambar lama yang mendorong generasi Baby Boomers terkenang hari bahagia pada 1955 dan 1956.
Antara PDP yang hadir termasuklah bekas jururawat dan paralegal di Amerika Syarikat, Lee Ket Ping; jurutera perisian yang kini bersara di Australia, Mong Kok Leong; pekerja korporat, Louis D' Cruz; dan pakar pergigian di Pulau Pinang, Dr Ong Saw Feng.
Ramai PDP dari Kuala Lumpur dan Selangor turut pulang untuk bertemu rakan-rakan lama mereka yang masih menetap di Port Dickson.
Beberapa alumni turut meluangkan masa melawat Third Mile Beach, Thana Orchard dan menikmati pelayaran matahari terbenam Dickson Dragon sebelum berangkat ke Eagle Ranch Resort untuk majlis makan malam pertemuan tersebut.
Majlis itu diakhiri dengan pelukan perpisahan yang penuh mesra.
Dalam sebuah nukilan khas buat rakan-rakannya, Datuk Tan Tang Peng berkata, ramai bekas pelajar yang sudah tidak dapat mengenali wajah gadis cantik atau pemuda tampan dalam gambar tersebut.
"Ada yang sudah tiada, ada juga yang hilang tanpa dapat dikesan.
"Dugaan hidup membentuk kehidupan ramai daripada kami, namun kesyukuran tetap ada.
"Mudah-mudahan, kita dapat bertemu lagi dalam perjumpaan fizikal yang akan datang," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram