
KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan sistem pembelian tiket tanpa tunai sepenuhnya, mulai 1 Januari 2025 yang meliputi sektor Lembah Klang, Utara, Selatan dan Pantai Timur.
KTMB berkata, inisiatif itu dilakukan bertujuan untuk memupuk masyarakat yang lebih cekap dan berdaya saing, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk pendigitalan yang mengutamakan keterangkuman, keselamatan dan ketelusan.
Langkah itu juga menyokong usaha kepimpinan negara untuk mempercepatkan transformasi Malaysia kepada ekonomi digital yang kompetitif, termasuk peralihan kepada masyarakat tanpa tunai.
BACA LAGI: Atasi 32 peserta lain, wanita Melaka usia 41 tahun dinobat pelatih terbaik kursus bomba paling sukar
BACA LAGI: Tangkas memanah guna busur tradisional, Muhammad Khalif hidupkan sunnah Rasulullah di zaman moden
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin menjelaskan bahawa syarikat itu kini dalam fasa peralihan sehingga akhir tahun 2024 bagi meningkatkan kesedaran orang ramai, khususnya warga emas dan orang kurang upaya mengenai peralihan kepada pembayaran tanpa tunai.
"Dalam tempoh peralihan ini, kaunter tiket akan terus menerima transaksi tunai. Bagaimanapun, sebaik inisiatif itu dilaksanakan, semua transaksi akan menjadi tanpa tunai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Rani Hisham berkata, KTMB giat mempromosikan inisiatif itu melalui pelbagai saluran termasuk akaun media sosial rasminya, pengedaran bahan promosi di stesen dan pengumuman yang dibuat di tren.
Selain itu, KTMB juga bekerjasama dengan bank tempatan untuk membantu individu yang tidak memiliki kad debit di stesen KTMB terpilih.
Kakitangan barisan hadapan di stesen juga akan bersedia untuk membantu pengguna mendaftar untuk aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau kad Komuter Link, membimbing mereka melalui proses pembelian tiket melalui aplikasi atau kad tersebut.
Katanya lagi, mereka juga akan memberikan sokongan untuk membeli tiket melalui mesin kiosk.
Bagi menggalakkan penggunaan awam transaksi tanpa tunai, KTMB menawarkan 500 titik rel percuma untuk 1,000 pendaftaran KITS pertama dan mengedarkan 1,000 kad Komuter Link tanpa sebarang bayaran.
Statistik menunjukkan bahawa kira-kira 82 peratus penumpang kini menggunakan kaedah pembayaran dalam talian untuk Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Shuttle Tebrau, melalui KITS, manakala penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai untuk perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang dan sektor utara berada pada 71 peratus.
Sehingga kini, KTMB telah mendaftarkan lebih tiga juta akaun untuk pembelian tiket ETS, KTM Intercity, Shuttle Tebrau dan KTM Komuter melalui aplikasi KITS. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram