Kutip zakat luar dari negeri sempadan satu kesalahan, Sultan Selangor titah umat Islam bayar pada amil dilantik MAIS


  • Primer
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Umat Islam dinasihatkan untuk membayar zakat pada amil yang dilantik oleh negeri masing-masing. ― Gambar hiasan/Agensi

SELURUH umat Islam di Selangor diminta untuk menyempurnakan ibadah zakat kepada amil dilantik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam untuk memastikan pengurusan ibadah zakat dilaksanakan dengan baik dan teratur.

Beliau menjelaskan bahawa MAIS merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan mengurus hal ehwal Islam termasuk urusan pelantikan atau pentauliahan amil zakat.

BACA LAGI: Katanya warga Singapura buat hal lagi, siap tukar nombor plat Malaysia sebelum isi minyak RON95

BACA LAGI: [VIDEO] Trafik Johor Bahru-Singapura sesak, pemuda Sri Lanka maut terjatuh jejantas elak diperiksa Imigresen di CIQ

6031689364712568068

Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam di Selangor untuk menyempurnakan ibadah zakat dengan amil yang sah.

Menurutnya, ALLAH menyerahkan mandat bagi menguruskan kutipan dan agihan zakat ke atas pihak Ulil Amri atau pemerintah di sesebuah tempat.

"Walaupun ketaatan kepada Ulil Amri jelas menjadi tuntutan syarak, namun masih lagi terdapat kes ejen yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri tertentu mengutip zakat di negeri Selangor iaitu di luar kawasan yang diperuntukkan.

"Janji pulangan rebat lumayan menyebabkan ejen terbabit menjadi rakus mengutip zakat sehingga merentasi negeri lain walaupun menyalahi Akta Kesalahan Jenayah Syariah negeri berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau pada masa sama berkata, jika kutipan zakat di Selangor 'diseludup' ke tempat lain oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sudah tentu golongan asnaf yang sepatutnya menikmati bantuan zakat akan dizalimi dan hak mereka juga dinafikan.

Jika melihat dari sudut hukum syarak, mengutip zakat di luar daripada sempadan negeri adalah satu kesalahan.

"Zakat yang dibayar kepada ejen melanggar dan merentas sempadan Majlis Agama Islam Negeri adalah tidak sah.

"Cuba kita bayangkan, zakat dibayar kepada pihak tidak bertanggungjawab ini yang disangka sah dan memenuhi kewajipan berzakat, rupa-rupanya tidak sah dan kewajipan berzakat masih lagi belum tertunai," tambahnya. ― Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram