[VIDEO] Lelaki Nepal cuba culik budak di Rawang direman 4 hari, motif dan status pasport masih dalam siasatan


  • 112
  • Khamis, 24 Okt 2024

Suspek warga Nepal yang ditahan dan diikat oleh penduduk Kampung Bunga Raya sebelum diserahkan kepada polis.

SEORANG lelaki warga Nepal yang disyaki cuba menculik budak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya dekat Rawang, Selangor direman empat hari untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mahkamah membenarkan suspek direman bermula Rabu sehingga Sabtu ini untuk membolehkan siasatan dilakukan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berada di negara ini dengan pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

BACA LAGI: Nampak macam berlesen, medan selera Desa Sri Hartamas rupanya beroperasi secara haram, amat kotor

BACA LAGI: Teringin lihat Adam ke sekolah', ibu gigih cari cara beri makna hidup untuk anak hidap celebral palsy

“Kita masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Imigresen berhubung status pasport dan PLKS milik suspek sama ada sah atau sebaliknya.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk motif sebenar kejadian ini,” katanya dalam kenyataan ringkas pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan seorang lelaki berkenaan menyamar sebagai tukang cuci dan cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya.

Perbuatan suspek digagalkan selepas kejadian disedari penduduk dan menangkapnya sebelum suspek diserah kepada pihak polis.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah hari, kelmarin ketika kanak-kanak itu sedang bermain di ruang tamu rumah.

Ibu saudara mangsa yang berusia 30 tahun yang turut berada di situ dikatakan sempat menarik mangsa daripada pelukan suspek sebelum lelaki itu melarikan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram