[VIDEO] Doktor, anak 4 tahun parah dirempuh SUV dipandu pelajar sekolah menengah di Kluang


  • 112
  • Khamis, 24 Okt 2024

Keadaan kereta mangsa selepas dirempuh di Bulatan Jalan Persiaran Seri Impian, Kluang, Johor pada Rabu. — Facebook

SEORANG pemandu bersama anak lelakinya cedera parah selepas kereta dinaiki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Bulatan Jalan Persiaran Seri Impian, Kluang, Johor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kereta SUV tersebut dipandu oleh remaja lelaki yang merupakan pelajar sekolah menengah.

Katanya, kejadian berlaku pada pukul 4.10 petang itu membabitkan mangsa warga Indonesia, Agung Nugroho Darmawan, 40, dan anaknya, Said Hassan berusia empat tahun yang menaiki Perodua Bezza.

BACA LAGI: [VIDEO] Lagi kes mengamuk pecah cermin kereta, besar kemungkinan angkara masalah ‘sambung bayar’

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita 'naik hantu' pecahkan cermin, kereta ditarik sebab 8 bulan tak bayar ansuran

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, SUV terbabit dari Bandar Kluang menghala ke Taman Seri Impian.

"Ketika sampai di tempat kejadian, SUV itu memasuki bulatan dan tiba-tiba Perodua Bezza pula keluar dari simpang sebelah kiri dan dilanggar oleh SUV itu.

"Pemandu SUV itu juga seorang pelajar sekolah menengah dan memiliki lesen memandu sah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, Agung Nugroho cedera di kepala, patah tulang rusuk dan organ dalaman manakala anaknya, Said Hassan pula parah di kepala.

Agung Nugroho kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, manakala anaknya dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Ketika kejadian, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dalam pada itu bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram