TULAR satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada Rabu memaparkan seorang penunggang motosikal dan pemboncengnya terjatuh akibat dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Johor Bahru, Johor.
Dalam rakaman yang dikongsikan di media sosial, insiden berlaku selepas kedua-dua kenderaan tidak berhenti di persimpangan empat penjuru di Taman Desa Jaya, Johor Bahru.
Tindakan meluru kedua-dua pihak itu menyaksikan pelanggaran terjadi sehingga menyebabkan dua individu menunggang motosikal terjatuh dengan mangsa tidak memakai topi keledar.
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita 'naik hantu' pecahkan cermin, kereta ditarik sebab 8 bulan tak bayar ansuran
Kedua-dua mereka kemudiannya kedengaran meraung menahan kesakitan, namun pemandu kereta berwarna merah bertindak meninggalkan lokasi kejadian tanpa memeriksa keadaan mangsa.
Bagaimanapun, penduduk di taman tersebut kelihatan segera hadir ke tempat insiden berlaku bagi memeriksa keadaan kedua-dua individu yang terkesan akibat pelanggaran itu.
Kemalangan difahamkan berlaku pada Ahad lalu berdasarkan tarikh yang terpapar dalam rakaman CCTV terbabit.
Namun, setakat ini, tiada sebarang kenyataan polis dikeluarkan manakala orang ramai menggesa agar pemandu tersebut tampil bertanggungjawab atas kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram