[VIDEO] Berubah ikut zaman, hanya di hujung jari mampu pertahankan hak pengguna


  • Primer
  • Rabu, 23 Okt 2024

Aduan berkaitan harga barang boleh dibuat di aplikasi ezAdu KPDN agar pihak kementerian dapat mengambil tindakan sewajarnya. — Gambar hiasan

SEPINGGAN nasi ayam mungkin berharga RM8 andai dijual di gerai atau warung tepi jalan.

Namun harga menu sama mungkin mencecah puluhan ringgit jika dinikmati di restoran atau hotel lima bintang.

Penentuan harga nasi ayam itu sebenarnya bukan berdasarkan kiraan kos asas bahan-bahan mentah seperti beras, ayam, tauge, bawang, cili, garam dan kunyit semata-mata.

BACA LAGI: Kadar cukai perkhidmatan 8 peratus tak jejas keperluan asas rakyat — MOF

BACA LAGI: Cukai 10 peratus barangan import online, ketahui fakta produk LVG yang terjejas

Malah ia turut meliputi kos membayar upah tukang masak dan lain-lain yang perlu diambil kira seperti elektrik, gas, air dan minyak.

Di sebalik itu, peniaga tidak seharusnya mengambil kesempatan dengan meletak harga yang tidak seiring dengan kos.

Ketika ekonomi negara semakin mengukuh, selain prestasi ringgit yang hebat serta harga minyak menurun, mengapa sesetengah juadah masih tidak menunjukkan penurunan harga?

Trend semasa bekalan, harga ladang dan kos pengeluaran ayam yang mula stabil juga sebenarnya menyumbang kepada harga pasaran pada kadar munasabah.

Buktinya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April lalu berkata, jika dibandingkan ketika pemerintahan kerajaan terdahulu, harga semasa barangan keperluan seperti ayam, telur dan minyak masak masih rendah serta stabil.

unnamed (2)

Trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam yang mula stabil, menyumbang kepada harga pasaran pada kadar munasabah. — Gambar hiasan

Bukankah itu semua satu petanda positif yang Ekonomi MADANI di bawah kerajaan Perpaduan sudah mula menunjukkan keupayaan dalam menangani cabaran ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Mengaitkan semula sepinggan nasi ayam dengan semua perihal yang diperkatakan tadi, adalah mudah jika pengguna sendiri mencongak harga mengikut kemampuan masing-masing sebelum membuat pembelian.

Bukan kerana kedekut tapi pengguna perlu bijak menilai agar setiap pembelian waima nasi ayam sekali pun tidak menjadi pembaziran di kemudian hari.

Malah acap kali kita diingatkan agar menjadi pengguna yang bijak dengan membuat perbandingan harga dan kualiti sebelum membeli sesebuah barangan.

unnamed (3)

Aplikasi ezAdu yang boleh dilayari di komputer riba dan telefon bimbit membolehkan pengguna membuat aduan kepenggunaan, merakam gambar bukti dan lokasi premis yang mahu dilaporkan.

Jika harganya tidak masuk akal, pengguna ada pelbagai cara untuk memanjangkan aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

Kesedaran pengguna terhadap hak mereka sebenarnya sudah ada, namun boleh terus diperkasakan melalui pelbagai bentuk kempen dan program pendidikan.

Berdasarkan statistik KPDN sehingga 31 Disember 2023, kategori harga mencatatkan aduan kedua tertinggi dengan jumlah 8,409 (20%) di belakang kategori transaksi dalam talian yang merekodkan 14,441 (33%) daripada keseluruhan 43,347 jumlah aduan.

Daripada jumlah keseluruhan 8,409 itu, kategori harga mahal merekodkan 48.4% atau hampir separuh iaitu 4,075 melibatkan aduan, harga mengelirukan (37%), tiada tanda harga (10.5%), tiada resit (2.9%) dan melebihi harga maksimum (musim perayaan) (1.3%).

unnamed (4)

Pengguna boleh membuat aduan kepada pihak KPDN jika mendapati harga yang ditawarkan peniaga mengelirukan dan tidak munasabah. — Gambar hiasan

Dalam hal ini, sebarang bentuk aduan boleh dibuat melalui telefon, laman web atau pengguna sendiri ke Pusat Pengurusan Aduan Pengguna (PPAP).

Selain itu, aduan juga boleh dibuat di aplikasi ezAdu KPDN bagi membolehkan pengguna membuat laporan secara terus kepada kementerian supaya tindakan sewajarnya segera diambil.

Dengan kemudahan teknologi di hujung jari, ezAdu yang boleh dilayari di peranti seperti komputer riba dan telefon bimbit membolehkan pengguna membuat aduan kepenggunaan, merakam gambar bukti dan lokasi premis yang mahu dilaporkan.

Pengguna juga boleh membuat semakan status aduan dan tindakan yang telah diambil serta menyemak sejarah aduan yang telah dibuat.

Setakat 31 Disember 2023, aplikasi ezAdu menjadi saluran ketiga tertinggi dengan jumlah aduan sebanyak 6,649 di belakang portal e-Aduan dan Aduan Suri yang masing-masing merekodkan 18,694 dan 15,615 aduan.

Medium aduan lain adalah WhatsApp (1,166), Hadir Sendiri (389), Telefon (384), E-mel (132), Surat (123), ECC/Bilik Gerakan (74) dan Lain-lain (121).

unnamed (5)

Sementara itu, bagi seorang pengguna, Khairol Aiyman, 38, berpendapat ezAdu adalah aplikasi yang mesra pengguna kerana bukan sahaja menggunakan dwi bahasa, malah cukup mudah untuk dilayari di mana-mana sahaja.

“Saya hanya perlu buat aduan di aplikasi ini jika berdepan situasi harga yang mengelirukan atau tidak sepatutnya. Senang saja sebab hanya perlu mengemukakan resit sebagai bukti dan harga yang sepatutnya ditawarkan kepada pengguna,” katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, Nur Faizah Fadhil, 29, berkata, selain harga, pelbagai jenis aduan boleh dibuat di ezAdu seperti barang tiruan, perkhidmatan atau iklan mengelirukan dan perihal perdagangan palsu.

Dengan kuasa sebagai pengguna, jadilah individu yang bijak membuat pilihan mengenai apa, di mana dan bila ingin membeli untuk memaksimumkan penjimatan ketika berbelanja.

Bukankah semua pilihan itu di tangan kita?

Jadi apa di tunggu lagi, pertahankan hak sebagai pengguna dengan memuat turun ezAdu, layari https://eaduan.kpdn.gov.my/portal/5.

Bagi membuat aduan pula, pengguna boleh merujuk kepada KPDN melalui talian bebas tol 1-800-886-800, sistem e-Aduan: http://e-aduan.kpdn.gov.my dan WhatsApp Aduan Pengguna di talian 019-279 4317. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram