Kadar cukai perkhidmatan 8 peratus tak jejas keperluan asas rakyat — MOF


  • Primer
  • Rabu, 28 Feb 2024

Kadar kenaikan cukai daripada enam peratus kepada lapan peratus dikatakan tidak melibatkan keperluan asas rakyat. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) mengumumkan, kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan (discretionary) dan aktiviti antara perniagaan (B2B).

Ia bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kadar cukai kepenggunaan yang lebih tinggi khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting seperti makanan dan minuman, parkir kenderaan, telekomunikasi serta logistik.

Peningkatan kadar cukai perkhidmatan itu juga dikatakan tidak membabitkan keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat.

BACA LAGI : Cukai 10 peratus barangan import online, ketahui fakta produk LVG yang terjejas

msg1050426791-26699

Kenaikan kadar cukai perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024.

Antaranya adalah perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Perkhidmatan logistik pula hanya dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Bukan itu sahaja, cukai perkhidmatan juga tidak akan dikenakan bagi perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman.

Bagi perkhidmatan elektrik pula, cukai perkhidmatan dikatakan hanya dikenakan ke atas kadar penggunaan lebih daripada 600 kilowatt sejam (kWj).

Hampir 85 peratus pengguna elektrik berada di bawah ambang itu malah, tidak terkesan dengan kenaan cukai perkhidmatan berkenaan.

Manakala, cukai perkhidmatan juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi menjayakan transformasi ekonomi, kerajaan mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam usaha mereformasi sistem percukaian negara.

BACA LAGI : Cukai Arab Saudi punca antara punca kos haji meningkat — Mohd Na'im

msg1050426791-26696

Perkhidmatan melibatkan keperluan asas seperti makanan dan minuman tidak dikenakan kenaikan cukai. — Gambar hiasan

Beliau berkata, meskipun adanya keperluan untuk mengembangkan hasil negara, kerajaan perlu menimbangkannya dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada beban berlebihan.

"Kerajaan perlu memperluas asas cukai demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan seperti mana digariskan di bawah kerangka Ekonomi Madani.

"Pada masa sama, kerajaan turut giat merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi melaraskan semula trajektori ekonomi negara merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelabur langsung asing (FDI)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, sistem percukaian yang ditambah baik dijangka meraih tambahan hasil yang dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada negara.

"Hasil tambahan itu dapat dimanfaatkan untuk menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat selain memperbanyak penambahbaikan dan penyelenggaraan prasarana awam kritikal seperti kesihatan, sekolah dan jalan raya.

"Menurut Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 yang telah diwartakan pada 23 Februari 2024, semua perkhidmatan bercukai yang disenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar lapan peratus," menurutnya.

Ia juga termasuklah perkhidmatan bercukai yang diimport dan perkhidmatan digital.

msg1050426791-26701

Perkhidmatan logistik yang termasuk dalam kenaikan kadar cukai tersebut. — Gambar hiasan

Liputan cukai perkhidmatan turut dikatakan akan diperluas bagi menyelaras dan memberi layanan cukai sama rata ke atas perkhidmatan tertentu dalam industri yang sama.

"Pusat karaoke yang berunsur hiburan akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus, sama seperti pusat-pusat hiburan lain yang merangkumi kelab malam, dewan tari menari, kabaret dan pusat kesejahteraan.

"Perkhidmatan broker dan penajajaminan, yang kini hanya dikenakan kepada perkhidmatan kewangan akan diperluas kepada perkhidmatan industri broker lain seperti broker kapal/kapal terbang, komoditi dan hartanah," jelasnya.

Bagi membolehkan syarikat melaksanakan perubahan dalam cukai perkhidmatan, kerajaan bersetuju dengan tarikh pelaksanaan berikutnya iaitu 1 Mac 2024 bagi individu berdaftar sedia ada menyediakan perkhidmatan bercukai sedia ada manakala individu berdaftar sedia ada menyediakan perkhidmatan cukai baharu, sementara orang berdaftar baharu menyediakan perkhidmatan bercukai baharu adalah 1 April 2024.

Sementara itu, kerajaan menjangkakan perubahan itu tidak menyebabkan kenaikan mendadak kepada harga perkhidmatan, sekali gus tidak akan membawa kejutan kepada ekonomi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram