SEORANG warga emas maut selepas mendaki Bukit Kledang, Ipoh, Perak petang Ahad lepas.
Penolong Pengarah (Bahagian Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, laporan berhubung kejadian membabitkan mangsa, Goon Swee Long, 71, diterima kira-kira pukul 4.24 petang sebelum bomba tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.
“Ketua Operasi mengarahkan anggota untuk memberikan rawatan awal dan membuat CPR (Cardio-Pulmonary Resuscitation) pada mangsa.
“Tidak lama kemudian, pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan telah hadir di lokasi dan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Kejadian berlaku pada ketinggian 800 meter dari aras laut. — Gambar hiasan
Swee Long dikatakan mengalami sesak nafas akibat keletihan dan pengsan ketika menghala ke laluan pemancar stesen RTM yang berada pada ketinggian 800 meter dari aras laut.
Mayat mangsa telah diangkat menggunakan pengusung dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram