Tiga bulan rehabilitasi untuk ahli GISB — Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara


  • 112
  • Isnin, 14 Okt 2024

Kerajaan buka pusat rehabilitasi untuk ahli GISB menyertai Program Rehabilitasi selama 90 hari.

KERAJAAN menawarkan pusat pemulihan untuk memberi peluang kepada ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) menyertai Program Rehabilitasi secara sukarela.

Program 90 hari itu terbuka kepada semua ahli GISB termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak dari semua peringkat umur.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN,) Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata, Kerajaan Madani berpandangan bahawa golongan tersebut tidak boleh diabaikan, sebaliknya perlu diberi bimbingan dan sokongan penuh agar dapat kembali kepada ajaran agama Islam yang betul.

BACA LAGI: Bimbang masa depan kanak-kanak GISBH, Sultan Selangor titah proses pemulihan tak dilengah-lengahkan

BACA LAGI: Selangor tubuh pasukan khas pulihkan anak-anak GISB

“Terdapat tiga aspek utama program tersebut iaitu memulihkan anggota GISB susulan penguatkuasaan polis dan setiap langkah kita akan berdasarkan perkembangan dalam siasatan yang diberikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

“Kedua, kerajaan melihat peserta sebagai mangsa dan bukannya pelaku justeru pendekatan ini selaras dengan prinsip Kerajaan Madani.

"Aspek ketiga ialah MKN diamanahkan untuk menyelaraskan program kerana kita mempunyai agensi pusat yang bertanggungjawab dalam hal keselamatan. Sebagai agensi pusat, lebih mudah untuk MKN menempatkan tenaga kerja dan jentera kerajaan dalam proses pemulihan anggota GISB," katanya ketika sidang media pada Isnin.

Raja Nurshirwan dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada rakan strategik MSN, yang bekerja keras secara telus dalam memastikan kejayaan program itu, atas gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya berterima kasih kepada semua rakan strategik kami yang terdiri daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis dan agensi berkaitan lain," katanya. — TheStar/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram