Pengurus, pekerja resort di Johor antara 3 ahli GISB tak mengaku salah pertuduhan pemerdagangan manusia, gangguan seksual


Seorang tertuduh yang merupakan pekerja di resort itu didakwa atas dua pertuduhan mendera seorang budak lelaki berusia 16 tahun secara seksual.

TIGA ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor pada Ahad atas tuduhan melakukan kesalahan seksual dan pemerdagangan manusia.

Mahmad Hamal Tukiman, 57, dan Rabiahtul Adawiyah Md Shah, 31 - yang merupakan pengurus pusat peranginan milik GISB di Kota Tinggi - didakwa atas empat pertuduhan pemerdagangan manusia melibatkan empat individu berusia antara 30 dan 57 tahun.

Muhammad Ansarullah Tukino, 20, yang merupakan pekerja di resort itu pula didakwa atas dua pertuduhan mendera seorang budak lelaki berusia 16 tahun secara seksual.

BACA LAGI : 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

BACA LAGI : Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah serta tiga lagi suspek yang masih bebas - Afizah Arifin, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, dan Norafiratul Abidah Ismail - memperdagangkan tiga wanita dan seorang lelaki untuk tujuan eksploitasi secara buruh paksa melalui ugutan.

Perbuatan itu dilakukan antara Ogos tahun lalu dan 1 Oktober tahun ini di Ikhwan Resort, Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar.

Perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Muhammad Ansarullah didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dengan menyentuh paha dan alat sulit mangsa.

IMG20211228135013

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara Ogos tahun lalu dan 1 Oktober tahun ini di Ikhwan Resort, Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar. — tawfiq.my

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 1 Jun dan 3 Jun lalu, pada pukul 10 malam di surau Ikhwan Resort, Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar.

Tindakan terbabit satu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid, manakala Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah diwakili Fathul Anwar Muin dan Muhammad Ansarullah diwakili Muhammad Zaim Rusli.

Ahmad Khairuddin mencadangkan agar ikat jamin ditetapkan sebanyak RM50,000 kepada Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah bagi setiap pertuduhan dan RM40,000 kepada Muhammad Ansarullah untuk setiap pertuduhan.

Mereka juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor di balai polis berhampiran sekali setiap bulan dan tidak menghubungi mana-mana mangsa dalam kes itu.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah bagi setiap pertuduhan, dan RM10,000 bagi Muhammad Ansarullah bagi kedua-dua pertuduhan itu berserta syarat tambahan. — The Star/REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram