Pemaju perumahan disenarai hitam mungkin tidak dibenarkan keluar negara, Dewan Rakyat diberitahu


  • Primer
  • Selasa, 15 Okt 2024

Sekatan perjalanan akan dikenakan terhadap pemaju perumahan dan lembaga pengarah yang telah disenaraihitamkan. — Gambar hiasan

TIMBALAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu memaklumkan bahawa pemaju projek perumahan terbengkalai berkemungkinan akan dihalang daripada meninggalkan negara dalam masa terdekat.

Aiman berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada tindakan punitif terhadap pemaju perumahan yang ingkar berikutan cadangan pindaan undang-undang perumahan.

"Antara pindaan yang akan dilaksanakan ialah meletakkan sekatan perjalanan terhadap pemaju perumahan dan lembaga pengarah yang telah disenaraihitamkan," katanya ketika menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Barisan Nasional-Tanjung Piai) di Dewan Rakyat pada Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] Tanah runtuh Taman Melawati kini diklasifikasikan berisiko tinggi, 300 penduduk diarah segera berpindah

BACA LAGI: 30 peratus kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global babit GISB alami kecelaruan kognitif — Nancy Shukri

rumah

Terdapat 113 projek perumahan swasta terbengkalai di seluruh negara, yang melibatkan 30,361 unit dan 15,952 pembeli. Gambar hiasan

Selain itu, Aiman berkata, butiran mengenai pemaju perumahan dan projek yang terjejas, yang telah terbengkalai atau menghadapi masalah, akan dipaparkan dalam Sistem Bank Data Perumahan Negara (Teduh).

"Ini akan menjadi rujukan kepada pihak berkepentingan seperti pembeli dan bank pembiayaan," tambahnya.

Sehingga 30 September tahun ini, Aiman memaklumkan bahawa terdapat 113 projek perumahan swasta terbengkalai di seluruh negara, yang melibatkan 30,361 unit dan 15,952 pembeli.

Menurutnya lagi, pasukan petugas khas bagi projek perumahan swasta terbengkalai dan bermasalah telah memulihkan sebanyak 14 projek perumahan terbengkalai setakat 30 September tahun ini.

"Projek-projek ini melibatkan 1,900 unit dengan anggaran nilai RM574.79 juta," tambahnya.

Mengenai tindakan semasa untuk melindungi pembeli rumah, Aiman berkata, pihaknya diberi kuasa untuk mengisytiharkan sesuatu projek perumahan swasta sebagai terbengkalai jika ia gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Setelah diisytiharkan sebagai terbengkalai, kementerian akan mengambil tindakan proaktif untuk menyenaraihitamkan pemaju dan lembaga pengarah yang terlibat dengan projek tersebut," tambahnya.

Beliau juga berkata pemaju yang ingkar akan dihalang daripada memohon lesen pemaju baru. Selain itu, akaun pemaju yang ingkar di bawah pihak berkuasa pembangunan perumahan juga akan dibekukan. — The Star/MARTIN CARVALHO/KHOO GEK SAN/JUNAID IBRAHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram