KAWASAN tanah runtuh berhampiran Jalan E6, Taman Melawati, Ampang, Selangor telah diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi, menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan pemindahan segera penduduk di kawasan tersebut.
Pihak berkuasa, termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), telah mengarahkan kira-kira 300 penduduk dari 18 rumah di Jalan E6 untuk meninggalkan kediaman mereka bagi mengelak sebarang kemungkinan buruk.
Kejadian tanah runtuh itu tular di media sosial selepas video kejadian mula tersebar pada Selasa.
TANAH RUNTUH DI TAMAN MELAWATI! pic.twitter.com/ZM56zIcdO0
— Hazri (@Sapik_Z) October 15, 2024
Lebih menakutkan, terdapat hakisan di beberapa kawasan lereng bukit dan aliran air deras di kawasan itu turut menyebabkan beberapa pokok tumbang berhampiran rumah dan kenderaan milik penduduk.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, melaporkan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 11.42 pagi Selasa.
“Sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.
Menurut Ahmad Mukhlis, sebaik tiba di lokasi, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP), Syamsul Shahar, memaklumkan kejadian tanah runtuh di lereng bukit berkeluasan 20x20 meter serta runtuhan berketinggian 30 meter.
"Kejadian ini tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan serius pada rumah. Namun, masih berlaku pergerakan tanah di lokasi kejadian," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram