BINTANG bola sepak Perancis, Kylian Mbappe disiasat atas dakwaan merogol di Sweden berikutan kunjungan pemain Real Madrid itu ke Stockholm.
Selepas akhbar Sweden, Aftonbladet melaporkan satu dakwaan rogol dilaporkan kepada polis tanpa menyebut siapa yang dituduh, akhbar Expressen pula enyatakan pemain berkenaan menjadi suspek.
"Menurut maklumat yang diperoleh oleh Expressen, polis sedang menyiasat bintang bola sepak disyaki merogol dan menyerang secara seksual," lapor akhbar tersebut.
BACA LAGI: Pemain kacukan Jerman masih tunggu jawapan FAM, sedih tidak dapat pulang beraya di Malaysia
Mbappe bersama beberapa lagi pemain membuat kunjungan ke ibu kota Sweden itu selepas dia tidak dipilih untuk perlawanan terkini Liga Negara-Negara UEFA.
Mereka menjamu selera di sebuah restoran dan mengunjungi kelab malam sebelum meninggalkan Sweden pada hari Jumaat lepas. Setakat ini Polis Sweden enggan memberikan sebarang butiran lanjut.
"Secara umum, jika kami menerima aduan dan memutuskan untuk menjalankan temu bual, kami memberitahu kepada (umum), mereka yang terlibat dalam kes itu mungkin mengambil tindakan yang boleh melambatkan dan menyukarkan siasatan," kata jurucakap polis.
Kylian Mbappe. — Agensi
Pada masa sama, jurucakap Mbappe apabila dihubungi AFP berkata, mereka tidak tahu menahu mengenai dakwaan undang-undang yang dilakukan terhadap pemain itu.
Dalam satu kenyataan daripada Mbappe kepada AFP, dia menafikan perkara tersebut dan berkata ia adalah satu fitnah.
"Hari ini, satu lagi khabar fitnah baru mula tersebar di laman web media Sweden Aftonbladet.
"Tuduhan-tuduhan ini adalah sepenuhnya palsu, tidak bertanggungjawab dan penyebarannya tidak boleh diterima.
"Bagi memperbetulkan imej Kylian Mbappe, semua tindakan undang-undang akan diambil untuk mengembalikan kebenaran terhadap mana-mana individu atau media yang terlibat dalam gangguan moral serta perlakuan fitnah yang dialami olehnya secara berulang," katanya menerusi kenyataan tersebut.
Sementara itu, jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata, laporan mendakwa pemain Perancis itu disiasat kerana merogol di Sweden mendatangkan pandangan negatif buat pasukan Perancis dan perkara yang tidak bagus buat pasukan kebangsaan.
"Setiap orang bebas menulis apa yang mereka mahu tetapi ini adalah keadaan negatif dalam pasukan Perancis," katanya selepas mendapat kemenangan 2-1 ke atas Belgium dalam Liga Negara-Negara UEFA. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram