SEORANG wanita berusia 86 tahun diselamatkan dari sebuah rumah yang penuh dengan sampah oleh anggota Pertahanan Awam di George Town, Pulau Pinang pada Isnin.
Anggota keluarganya terpaksa meminta bantuan daripada Pertahanan Awam sekitar pukul 4.40 petang Ahad lepas berikutan rumah di Jalan Mano itu berselerak dengan timbunan sampah di seluruh sudut rumah, dan wanita itu menghadapi kesukaran berjalan.
Empat anggota Pertahanan Awam dikerahkan ke tempat kejadian sebelum menemui bekas sampah yang dilonggokkan di sekitar perkarangan rumah dan juga di dalam rumah dua tingkat itu.
Ini termasuk longgokan sampah yang bertaburan di tangga-tangga rumah tersebut.
Menurut Pegawai APM Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani, mangsa tidak dapat berjalan dan sukar bergerak keluar daripada kediaman dua tingkat itu berikutan dipenuhi dengan barangan lusuh dan kitar semula yang dikumpulnya.
“Mangsa dikatakan mahu tinggal di pusat jagaan warga emas berhampiran namun berikutan keadaannya yang sakit dan sukar keluar daripada timbunan sampah di dalam rumah sehingga keluarganya menghubungi APM bagi mendapatkan bantuan," katanya pada Isnin.
Warga emas tersebut turut dipercayai menghidap pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, diabetes, kelemahan fizikal dan gangguan pendengaran.
Wanita itu kemudiannya dibawa keluar dari rumah menggunakan pengusung dan dikatakan memerlukan bantuan untuk berpindah ke rumah orang tua berhampiran. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram