[VIDEO] 'Ada lagi susah dari kita', akak 'delivery' sebak bantu tumpangkan murid lepas motor bapa pancit


  • Massa
  • Jumaat, 11 Okt 2024

Nor Sabella Melan membantu seorang lelaki bersama anaknya sedang menuntun motosikal pancit di tepi jalan di Puncak Alam pada Jumaat.

'KALAU kita rasa hidup susah, ada individu di luar sana yang lebih susah', itulah kata-kata yang diluahkan oleh seorang wanita selepas sebak melihat sosok seorang lelaki bersama anaknya sedang menolak motosikal pancit di tepi jalan di Puncak Alam pada Jumaat.

Difahamkan, ketika kejadian, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai penghantar makanan mahu membawa anaknya pergi ke Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2, Selangor untuk mengikuti sesi persekolahan.

Meskipun tayar motosikalnya sudah pancit, lelaki berkenaan tetap gigih menuntun motosikal demi membolehkan anaknya tidak terlepas ilmu berharga yang diajarkan guru-guru di sekolah.

"Bapa dia mahu anak dia ke sekolah juga walaupun sudah dalam keadaan begitu. Kalau orang lain mungkin tak datang sekolah pun berasa tak jadi masalah.

"Saya waktu itu mahu ke tempat kerja untuk menghantar motosikal kepada pelanggan, tetapi saya memilih untuk bantu mereka terlebih dahulu," kata wanita tersebut, Nor Sabella Melan kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sherpa bukan sekadar pandu arah, kami adalah perintis', Nima Rinji jadi individu termuda tawan 14 puncak tertinggi di dunia

BACA LAGI: [VIDEO] Siswa Labah-Labah daki secara merangkak, anak jati Kuching buktikan OKU mampu tawan Everest

Susulan itu, Sabella yang bekerja sebagai penghantar barangan itu mengambil keputusan untuk membantu anak kepada lelaki berbabit dengan menghantarnya ke sekolah.

"Budak kecil itu tidak tahu apa yang sudah pernah dia alami. Dari segi percakapannya apabila berbual, terlihat sangat matang.

"Gigih tetap mahu ke sekolah sama seperti bapanya yang mahu anaknya tak tertinggal pelajaran. Apabila sudah sampai sekolah juga pandai bersalam dengan bapanya," katanya kepada Majoriti.

Tidak hanya itu, Nor Sabella yang prihatin dengan nasib bapa kepada murid sekitar umur 11 tahun itu juga bertindak membantu lelaki berkenaan untuk ke stesen minyak bagi membaiki tayar motosikalnya.

Wanita berusia 35 tahun itu berkata, situasi yang dilihatnya itu memberi pengajaran agar kita bersyukur dengan apa yang dimiliki.

"Segelintir ibu bapa kalau anak ponteng sikit tidak mengapa. Sebenarnya, pendidikan ini sangat penting sebab itulah penentu masa hadapan anak-anak.

"Memang tidak menjamin kepandaian seseorang tetapi mungkin dari persekolahan itulah mampu membentuk kemahiran anak-anak, sama ada melalui kemahiran ataupun sukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram