SEBUAH festival Kartun Gen-Z bakal berlangsung pada 19 dan 20 Oktober depan di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam.
Bertemakan Muhibah dan Perpaduan, festival itu menjadi pentas untuk mempromosikan bakat kartunis tempatan, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Manakan tidak, ramai bakat muda berusia di bawah 30 tahun yang terdiri dari berbagai bangsa di Malaysia bakal menampilkan lukisan indah mereka menerusi festival itu.
BACA LAGI: Dragon Ball bakal kembali dengan nafas baharu
Kartun adalah medium yang mudah diterima oleh golongan muda dan ia dapat menyampaikan mesej perpaduan dengan cara yang santai tetapi mendalam.
Inisiatif program kreatif berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Seni Sketsa (Saksama) dan Ranuza Enterprise dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Yayasan Hasanah.
Kartun adalah medium yang mudah diterima oleh golongan muda dan ia dapat menyampaikan mesej perpaduan dengan cara yang santai tetapi mendalam.
Sebanyak 300 karya kartun bakal dipaparkan sepanjang festival tersebut.
Acara itu juga akan dipenuhi aktiviti-aktiviti seni kartun yang menarik seperti bengkel dan pertandingan melukis kartun, pertandingan mewarna, melukis karikatur dan banyak lagi.
1. Bengkel melukis kartun
Bengkel melukis kartun adalah panduan melukis wajah, pergerakan karakter kartun dan panduan asas mewarna.
Aktiviti itu akan dikendalikan oleh kartunis profesional di atas pentas utama.
Terdapat tiga kategori bengkel seperti bengkel melukis kartun secara fizikal, bengkel melukis kartun digital dan bengkel lukisan Orang Asli.
2. Pertandingan melukis kartun
Pertandingan melukis kartun akan diadakan selama dua hari berturut-turut yang terbuka kepada peserta-peserta untuk mengambil bahagian secara walk in.
Peserta akan dibahagikan mengikut beberapa kategori umur dengan ganjaran lumayan yang ditawarkan menerusi hadiah-hadiah utama dan sagu hati.
3. Pertandingan mewarna
Pertandingan mewarna akan diadakan dua hari berturut-turut yang juga terbuka buat peserta secara walk in.
4. Kartunis-kartunis promosi
Di kawasan ruang kartunis-kartunis promosi, puluhan meja khas disediakan buat kartunis muda untuk mempromosikan karya mereka secara percuma.
Mereka juga boleh menjual karya-karya mereka pada hari tersebut.
5. Melukis karikatur
Acara melukis karikatur disediakan kepada pengunjung yang mahu agar wajah mereka dapat dikarikaturkan oleh kartunis-kartunis muda.
6. Acara kanvas terbuka untuk orang awam
Pengunjung festival itu berpeluang mengambil bahagian dalam acara melukis di kanvas terbuka.
Sebuah kanvas yang besar akan diletakkan di kawasan program dan acara itu akan dimulakan oleh pelukis-pelukis kartun profesional.
Kemudian, orang ramai boleh mengambil bahagian dengan melukis dan melakar mesej yang ingin disampaikan.
7. Pameran lukisan kartun
Lebih 300 buah lukisan kartun karya 100 kartunis muda dipamerkan di seluruh kawasan di Festival Kartun Gen-Z.
Ia adalah hasil karya kartunis-kartunis muda berbagai kaum di seluruh negara, termasuk dari Orang Asli dan pelbagai kaum Sabah dan Sarawak.
8. Demonstrasi melukis kartun
Aktiviti demonstrasi melukis kartun akan diadakan secara langsung oleh kartunis di atas pentas.
Dalam aktiviti itu, kartunis akan menunjukkan hasil karya mereka secara spontan.
Pengunjung dapat menyaksikan keunikan dan kelainan setiap karya mengikut gaya tersendiri para kartunis.
9. Sesi pelukis istimewa
Satu sesi bersama pelukis-pelukis istimewa seperti golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya pelukis-pelukis autisme akan diadakan.
Sesi itu membolehkan mereka memaparkan live drawing dan lukisan yang akan dijual kepada pengunjung.
10. Sesi kartunis wanita
Satu sesi meet and greet secara santai untuk kartunis wanita muda dan profesional juga akan diadakan.
11. Live drawing umum
Sesi live drawing untuk orang ramai menunjukkan bakat mereka juga akan diadakan sepanjang festival.
12. Sesi pentas promosi kartunis
Sesi mempromosi kartunis-kartunis muda di atas pentas juga akan diadakan supaya bakat mereka dapat didedahkan kepada umum.
13. Kuiz kartun perpaduan
Kuiz yang berkaitan dengan kartun dan lukisan kartun juga akan diadakan dengan menampilkan pelbagai hadiah cenderahati buat pemenang kuiz.
14. Pertunjukan wayang kulit
Wayang kulit (shadow play) juga adalah sebahagian dari cabang kartun kerana karakternya menampilkan pelbagai watak-watak kartun.
Tujuan utama pertunjukan itu adalah untuk mengingatkan orang ramai terutama generasi muda supaya tidak lupa kepada seni warisan berkenaan.
Pertunjukan itu akan dikendalikan oleh para pemain muda berusia di bawah 20 tahun.
Lebih menarik, bengkel membuat karakter wayang kulit juga akan dibuka kepada orang ramai.
15. Penceritaan dan demonstrasi
Dalam sesi itu, pelukis yang berjaya di peringkat antarabangsa berkongsi pengalaman mereka sebagai motivasi kepada kartunis-kartunis muda.
Dengan adanya aktiviti sebegitu, ramai bakat muda terinspirasi untuk melakukan yang terbaik dalam karya mereka.
16. Lukisan Live Mural
Sesi lukisan mural besar oleh pelukis mural terkenal secara live juga akan diadakan.
17. Lukisan pelukis mistik
Seorang pelukis yang mendakwa mempunyai kelebihan untuk melihat mahkluk-makhluk di alam lain juga akan beraksi mencipta lukisan di atas pentas.
Lukisan yang dibuat memaparkan makhluk-makhluk yang dia lihat berada di sekeliling manusia.
18. Melukis sesama sendiri
Dalam sesi itu, dua orang awam akan dijemput untuk melukis wajah mereka sesama sendiri dengan hadiah cenderahati yang akan disediakan.
19. Gerai-gerai jualan
Gerai-gerai jualan produksi-produk seni dan buku sepanjang festival juga akan dibuka.
20. Cetakan baju-T segera
Percetakan baju-T segera adalah perkhidmatan yang membolehkan pelanggan mencetak rekaan atau logo pada baju-T dalam masa yang singkat
Pengunjung boleh membawa corak rekaan mereka sendiri dan terus dicetak di atas baju-T dengan bayaran tertentu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram